Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Lautan merah di Stadium Sultan Muhamamd IV, Kota Bharu gagal memberi kelebihan untuk pasukan Kelantan menyekat misi tiga mata JDT.

Aksi tertunda Liga Super 2017 itu menyaksikan The Red Warriors (TRW) tewas 2-3 sekali gus gagal meraih janji penaja untuk menghadiahkan telefon pintar kepada setiap pemain sekiranya mereka menang.

Sebaliknya, skuad Harimau Selatan berjaya merealisasikan misi mereka untuk kembali ke tangga teratas liga selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Pasukan tuan rumah tampil menguasai permainan di awal 45 minit pertama malah berjaya mencipta kejutan melalui sentuhan penyerang import mereka, Muhammad Ghaddar.

Menerima hantaran lintang dari Farisham Ismail, sentuhan Ghaddar menggembirakan penyokong mereka seawal minit kelima perlawanan untuk gol pertama mereka.

Selang 10 minit kemudian penyerang kelahiran Lubnan menggandakan jaring buat pasukannya meletakkan kedudukan 2-0 pada minit ke-15.

Namun, keselesaan anak buah Zahasmi Ismail hanya seketika apabila JDT bangkit secara drastik menjadikan gelanggang pasukan lawan sebagai tuah mereka.

JDT berjaya meraih gol pertama pada minit ke-21 melalui sepakan bebas kapten mereka, Safiq Rahim menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Kedudukan 2-1 pastinya kembali meresahkan skuad Kijang, namun JDT berjaya meraih kelebihan awal untuk menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti.

Peluang itu dimanfaatkan dengan sempurna oleh Gabriel Guerra untuk kedudukan terikat 2-2 pada minit ke-27 perlawanan sebelum JDT merampas penguasaan dengan gol ketiga hadir tiga minit berselang.

Gerakan pantas JDT menyaksikan keghairahan JDT untuk meraih tiga mata kian sempurna selepas sentuhan Gonzalo Cabrera berjaya mencipta gol ketiga mereka mengatasi tuan rumah dengan kelebihan satu gol.

Di separuh masa kedua, Kelantan gagal untuk bangkit sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan walaupun beberapa percubaan berjaya dilakukan.

Nasib malang menimpa mereka apabila Mohammad Qayyum Marjano Sabil dikenakan kad merah selepas tindakannya menarik baju pemain JDT.

Kem Harimau Selatan pula dilihat terus menggempur kubu pertahanan lawan di samping memperkemaskan jentera belakang mereka bagi mengekang asakan lawan sebelum keputusan kekal 2-3 sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Hasil perlawanan malam ini, anak buah Benjami Mora kini mengumpul 20 mata mengatasi Pahang dan Kedah di kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing mengitip 19 mata.

Kelantan pula kekal di tangga keenam dengan mengutip 12 mata hasil empat kemenangan dan lima kekalahan.
 

Lihat Komen
ADS