Seorang bayi berusia enam bulan dikhuatiri mengalami implikasi di bahagian otak selepas terkena bola tendangan anak bintang Chelsea, Cesc Fabregas.

Ibu mangsa, Victoria Diethardt berkata kejadian itu berlaku pada Ahad lalu ketika dia dan anaknya, Mark sedang bersantai di taman Belgrave Square, London Barat.

Mereka dikatakan duduk di taman tidak jauh dari tempat Fabregas dan anak-anaknya bermain bola, walaupun terdapat larangan bermain bola di situ.

"Tiba-tiba bola menghentam kepala anak saya dan dia sangat terkejut," kata Victoria seperti dilaporkan akhbar United Kingdom The Sun.

Victoria mengatakan Fabregas sempat menghampirinya untuk meminta maaf dan mengambil bola itu.

Namun, ketika Victoria sedang menenangkan anaknya, Fabregas yang ditemani oleh isterinya, Daniella Seaman dilihat mahu meninggalkan taman.

"Saya tak biarkan mereka pergi tanpa kenali siapa mereka. Saya bertanya kepadanya dan isterinya tampil memberitahu namanya Daniella, kemudian memberikan nombor telefon.

"Daniella sempat melihat anak saya dan mengatakan Mark (anaknya) dalam keadaan baik. Saya ingin tahu bagaimana jika itu menimpa anaknya sendiri. Dia kata akan hubungi saya untuk tahu keadaan Mark tetapi saya tak dihubungi pun," katanya.

Victoria berkata, dia mengetahui identiti Fabregas dan keluarganya selepas diberitahu seseorang yang turut bebrada di lokasi kejadian.

Sejak kejadian Ahad itu, Victoria mendakwa berlaku perubahan drastik terhadap anaknya.

Katanya, Mark yang biasanya aktif dan sangat ceria kini lebih banyak terdiam dan tertidur.

Terkejut dengan penjelasan doktor

Victoria sudah membawa anaknya kepada doktor peribadi dan amat terkejut dengan penjelasan doktor tersebut.

Mark berkemungkinan kehilangan sebahagian fungsi tangan kanan dan kemungkinan mengalami kerosakan otak.

Susulan itu, Victoria berhasrat untuk melakukan tuntutan terhadap keluarga pemain bola sepak Sepanyol itu.

Tidak hanya menuntut kos perubatan, dia juga minta Fabregas membiayai kehidupan anaknya jika benar Mark mengalami kerosakan otak.

"Fabregas cukup kaya untuk membayar kos kesihatan peribadi anak saya. Jika doktor mengesahkan Mark mengalami masalah, Fabregas perlu menanggung seluruh kehidupannya," ujarnya.

Sementara itu, jurucakap keluarga Fabregas mengakui kejadian itu dan membantah dakwaan tidak pernah bertanya khabar mangsa melalui ibunya.

"Anak perempuan Daniella menendang bola, tak kuat dan terkena bayi itu. Baik Daniella dan anaknya sangat menyesal atas kejadian itu dan mereka sudah berhubung untuk memastikan bayi dalam keadaan baik.

"Ketika mereka tak mendapatkan respon lanjut, mereka menganggap tiada sebarang masalah menimpa bayi itu," jelasnya.