Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Elak tuding jari, TMJ tegas isu pengadil
Diterbitkan:  Apr 13, 2017 5:24 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Tunku Ismail Sultan Ibrahim memandang serius pertikaian terhadap barisan pengadil dalam beberapa perlawanan liga Malaysia.

Presiden FAM itu berkata, dalam masa seminggu, pihaknya menerima beberapa laporan mengatakan pengadil melakukan tugas dengan teruk.

Justeru beliau mengarahkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) melihat semula perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (Japan FA) bagi menggunakan khidmat pengadil luar dalam mana-mana perlawanan besar selepas ini.

"Ia bagi mengelakkan daripada mana-mana pihak untuk menuding jari.

"Jika ada yang mengatakan JDT menang kerana saya adalah presiden FAM, saya telah memenangi tujuh piala buat JDT dan menentang sistem sebelum ini," tegas beliau dalam kenyataan hari ini.

Terbaru, kemenangan JDT ke atas Kelantan di Kota Bharu malam tadi mengundang kemarahan penyokong tuan rumah terhadap mutu pengadil perlawanan.

Kritikan terhadap pengadil itu turut diluahkan secara tidak langsung oleh penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

"Walau tewas saya tetap ucap tahniah TRW (The Red Warriors), anda tewas kepada pengadil," katanya dalam tulisan di Facebook.

Exco lama susahkan FAM

Sementara itu, Tunku Ismail turut melahirkan rasa kecewa terhadap barisan kepimpinan lama badan induk bola sepak negara yang dilihat kini menyusahkan pentadbiran baru FAM.

Katanya, akibat pengurusan lepas, FAM kini berdepan dua kes dan salah satunya kes saman dengan syarikat peneraju media antarabangsa, Media Partners & Silva (MP & Silva).

"Sekiranya kita kalah, FAM terpaksa membayar RM25 juta termasuk tambahan RM9 juta jika kalah dengan satu lagi syarikat yang kita tandatangani untuk skuad pembangunan Harimau Muda ke Slovakia.

"Bagaimana FAM boleh tandatangani perjanjian yang lebih memihak kepada pihak lain? Sepatutnya keutamaan, kelebihan dan 'financial securities' serta apa sahaja kepentingan adalah kepada FAM.

"Tetapi sekarang ini apa yang berlaku adalah perjanjian-perjanjian lemah yang ditandatangani oleh FAM dan meletakkan badan induk ini di dalam keadaan yang susah," katanya.

Justeru menurut Tunku Ismail beliau sendiri akan bertemu MP & Silva bagi menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.

 
Lihat Komen
ADS