Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
SPRM: Rasuah sukan masih terkawal
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 7:00 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan masalah rasuah dalam kalangan atlet, persatuan sukan serta pegawai badan awam yang terlibat dalam organisasi sukan masih dalam keadaan terkawal.

Timbalan Ketua Pesuruhanjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata biarpun masalah itu tidak serius tetapi kebanyakkan isu salah laku rasuah dalam sukan lebih cenderung kepada pegawai badan awam yang salah guna kuasa mereka dalam mengurus tadbir sesebuah organisasi sukan.

"Rasuah dalam sukan memang berlaku tetapi tidak sampai ke tahap yang begitu serius. Berdasarkan data dan fakta yang ada, saya melihat masalah rasuah dalam sukan lebih tertumpu kepada salah laku pegawai badan awam dalam organisasi sukan dalam kes perolehan.

"Setakat lima tahun lepas, tiada lagi yang tertuduh tetapi ada siasatan dijalankan. Kebanyakan kes yang disiasat itu adalah yang melibatkan pembelian peralatan dan pemberian perkhidmatan," katanya ketika berucap pada majlis 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah Sukan' anjuran Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil.

Katanya pemimpin badan sukan seharusnya sedar tanggungjawab mereka adalah memastikan atlet dalam prestasi cemerlang bukan salah guna kuasa dengan mengambil kesempatan terhadap beberapa perkara lain yang melibatkan sukan masing-masing.

Pada majlis itu Azam yang mewakili SPRM dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), anjuran PPS disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam ucapannya berkata, pihak PPS telah mengambil pencegahan awal dalam memastikan salah laku dan isu rasuah tidak berlaku dalam mana-mana badan persatuan sukan dengan memantau urus tadbir organisasi sukan.

"Akan tetapi semua usaha kita lakukan yang terbaik itu tidak akan menjadi realiti tanpa prestasi dan urus tadbir yang mantap dalam kalangan badan-badan sukan. Demi kecemerlangan sukan adalah penting pengurusan organisasi sukan itu berada di landasan yang betul dan kukuh," kata​ Khairy.

-Bernama

Lihat Komen
ADS