Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah menubuhkan Yayasan Badminton Nasional (YBN) untuk mencari penajaan dan dana bagi mengurus pembiayaan Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang terletak di Bukit Kiara, Petaling Jaya.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata dana daripada yayasan itu juga akan digunakan untuk penubuhan empat lagi akademi di Semenanjung Malaysia dan sebuah di Sarawak.

Beliau berkata ahli majlis BAM, Datuk Jasmy Ismail dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa yayasan, pemasaran dan penajaan manakala Timbalan Presiden BAM, Tan Sri Abdul Aziz Hussain ditugaskan untuk merealisasikan perancangan bagi menubuhkan akademi di Sarawak.

"YBN mempunyai lembaga pengelola terdiri daripada kalangan korporat dan bekas pemain. Selain itu, YBN juga akan menyediakan biasiswa kepada pemain muda yang berkelayakan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BAM ke-72 di Hotel Dorsett, Subang, dekat Petaling Jaya hari ini.

Mohamad Norza secara rasmi dilantik sebagai presiden baharu BAM bagi penggal 2017-2021 pada mesyuarat tersebut.

Mohamad Norza berkata BAM juga dalam usaha membuat perundingan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendapatkan pemilikan ABM secara sepenuhnya bagi membawa pemain daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil berlatih serta tinggal di akademi tersebut.

"Saya tahu untuk menguruskan akademi ini kita memerlukan amaun yang besar iaitu RM3 juta sehingga RM5 juta, sebab itu kita perlu lembaga pengelola untuk mengurus yayasan ini," katanya.

Katanya, selain itu, BAM akan turut memperkenalkan Liga Profesional Badminton Kebangsaan yang melibatkan pemain profesional negeri dengan berkonsepkan kejohanan Piala Sudirman.

Namun maklumat lanjut mengenai liga tersebut akan diumumkan kemudian, katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS