Kedah, Pahang sebelah kaki ke final

   

Tanpa sentuhan Jurulatih Tan Cheng Hoe, pasukan Kedah tetap berjaya mengatasi Terengganu 1-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA, sebentar tadi.

Skuad Helang Merah yang kini di bawah percaturan Penolong Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusoff bagaimanapun kelihatan begitu sukar dicabar hebat pihak lawan pada pertemuan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Baddrol Bakhtiar dan rakan-rakan mempamerkan kerja keras mereka seawal 45 minit pertama.

Kelibat Liridon Krasniqi mengemudi jentera tengah menyaksikan Kedah begitu menguasai padang keramat mereka.

Namun skuad Penyu juga tidak memberi laluan mudah, Issey Nakajima juga ghairah untuk memburu jaringan dalam aksi bertukar serangan kedua-dua pasukan.

Penyerang import tuan rumah, Ken Ilso Larsen dilihat beberapa kali gagal memanfaatkan peluang diperolehinya untuk menggembirakan ribuan penyokong mereka.

Antaranya pada minit ke-28 Ken Ilso yang menerima umpanan Syazwan Zainon berjaya melepaskan rembatan, bagaimanapun ditangkap kemas penjaga gol Terengganu Amierul Hakimi Awang.

Terengganu pula sukar untuk melepasi benteng pertahanan Kedah, percaturan Faiz Nasir yang mencipta peluang untuk Nakajima gagal menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Ikmal Chek Kassim untuk keputusan terikat 0-0 di separuh masa pertama.

Kembali dari bilik persalinan untuk babak masa kedua, bumi Alor Setar mulai hujan mengiringi langkah agresif pemain-pemain Kedah dan Terengganu.

Kedah tidak berlengah dalam pemburuan mereka, manakala anak buah Irfan Bakti Abu Salim juga dilihat semakin memberi saingan sengit.

Dan keputusan dibuat Mohd Nidzam Adzha membawa masuk Farhan Roslan bagi menggantikan Sandro da Silva akhirnya menghukum Terengganu.

Farhan berjaya memastikan Kedah mempunyai sekurang-kurang bekalan satu gol untuk di bawa ke gelanggang lawan pada aksi kedua nanti.

Melalui umpanan Ken Ilso yang berpunca dari sepakan penjuru, pemian muda itu bijak memperdayakan pertahanan Terengganu sebelum merembat deras ke arah gawang lawan.

Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, Kuantan menyaksikan pasukan Pahang juga mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama.

Keputusan perlawanan malam ini sekali gus meletakkan Kedah dan Pahang masing-masing memerlukan satu langkah lagi untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun, mereka ternyata tidak boleh terlalu selesa memandangkan hanya bekalan satu gol yang akan dibawa ke gelanggang lawan 12 dan 13 Mei nanti.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.