Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
PFAM sokong pemotongan mata
Diterbitkan:  May 3, 2017 1:27 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) menyambut baik pelaksanaan hukuman pemotongan mata oleh Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) yang dikenakan terhadap empat pasukan Liga Malaysia (Liga-M).

Presiden PFAM, Hairuddin Omar, dalam kenyataan hari ini, menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan hukuman berkenaan yang disifatkan semakin sinonim dalam kalangan pasukan Liga-M.

Menurut beliau, hukuman tersebut bakal menjadi pengajaran terhadap semua pasukan yang bertanding kerana kegagalan dalam menguruskan gaji pemain adalah merupakan satu kesalahan yang dipandang serius.

"Isu tunggakan gaji merupakan isu yang sering berlaku dalam kancah bola sepak tempatan. Kegagalan pasukan dalam menguruskan gaji pemain adalah merupakan satu kesalahan yang serius dan berat.

"PFAM percaya, menerusi tindakan pemotongan mata dan 'transfer ban' ini dapat menjadi satu pengajaran kepada pasukan yang dikenakan tindakan dan juga menjadi peringatan kepada pasukan lain," katanya.

Dua pasukan Liga Super - Kelantan dan T-Team antara empat pasukan yang dikenakan hukuman pemotongan enam mata berkuat kuasa serta merta ekoran kegagalan melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga berkenaan yang berakhir pada Disember 2016.

Sementara dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima nasib yang sama selepas gagal menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh ditetapkan.

Dalam pada itu, PFAM menggesa supaya pasukan yang dikenakan hukuman berkenaan untuk segera menyelesaikan tunggakan gaji tersebut bagi memastikan integriti industri bola sepak tempatan terpelihara menerusi kebajikan para pemain yang tidak diabaikan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS