Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
PFA terkilan, Kafa merayu
Diterbitkan:  May 3, 2017 6:40 PM
Dikemaskini: 10:48 AM

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman terkilan dengan tindakan Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) yang memotong mata pasukan berkenaan dalam saingan Liga Perdana 2017 tanpa toleransi.

Rozabil berkata tindakan tersebut adalah terburu-buru kerana FMLLP sepatutnya menyiasat terlebih dahulu masalah yang menyebabkan PFA tidak dapat melengkapkan pengesahan berkenaan dalam tempoh ditetapkan.

Katanya apa yang berlaku di Perlis adalah diluar kemampuan PFA untuk menyelesaikannya kerana ia berkenaan masalah salah faham yang timbul sehingga terjadi kesilapan teknikal di pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Surat bayaran KWSP setiap pemain sudah dihantar ke KWSP Kangar sejak Disember lepas. Kemudian mereka menghantar surat berkenaan ke KWSP Kuala Lumpur untuk diproses, tetapi tiada maklum balas sehingga kini walaupun PFA telah membuat susulan status proses itu daripada KWSP.

"Saya kecewa dengan tindakan FMLLP yang tidak menyiasat secara terperinci masalah dihadapi PFA sebelum menjatuhkan hukuman tersebut kepada kami," katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pula akan membuat rayuan terhadap FMLLP dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung pemotongan mata terhadap Kelantan.

Penasihatnya, Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah persatuan, bahkan hanya menambah tekanan kepada pihak pengurusan dan pemain.

"Jika mereka sentuh soal hutang, kenapa bekas pemain pertahanan Selangor, S. Subramaniam yang kini beraksi dengan Kelantan mengadu beliau masih belum menerima bayaran enam bulan gaji daripada bekas majikannya itu.

"Kenapa hal itu seolah-olah ditutup, bukankah ia perkara dan situasi yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Larian Bendera Sempena Sambutan Ulang Tahun ke -71 Umno di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Kota Bharu.

Semalam, FMLLP mengumumkan dua pasukan Liga Super - Kelantan dan T-Team antara empat pasukan yang dikenakan hukuman pemotongan enam mata berkuat kuasa serta merta ekoran kegagalan melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga berkenaan yang berakhir pada Disember 2016.

Sementara dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima nasib yang sama setelah gagal menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh ditetapkan.

Lihat Komen
ADS