Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Lima pemain termasuk dua daripada skuad Liga Super, masing-masing digantung tiga perlawanan manakala dua pasukan dalam Piala FAM 2016 dikenakan denda RM6,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mereka yang digantung adalah Muhammad Fakhrurazi Musa daripada pasukan T-Team dan Mafry Balang (Pulau Pinang), kedua-duanya dalam Liga Super, Dendy Lowa (Sabah) dalam Liga Perdana serta dua pemain Piala Presiden, Mohd Zulkiffli Zakaria (UiTM FC), dan Muhammad Fakrul Wahib (Terengganu).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata Persatuan Bola Sepak Ipoh dan DYS FC pula didenda kerana gagal menghormati keputusan dan arahan Jawatankuasa Status FAM.

Baljit berkata selain penggantungan, Muhammad Fakhrurazi, Mafry dan Dendy, masing-masing turut didenda RM3,000 manakala Mohd Zulkiffli dan Muhammad Fakhrul pula, masing-masing dikenakan denda RM1,000.

"Muhammad Fakhrurazi melanggar Artikel 59, Kod Tatatertib FAM berkenaan kelakuan yang menyinggung dan fair play apabila mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan pada aksi antara Perak dan T-Team di Stadium Perak, Ipoh, pada 8 April lepas.

"Mafry dan Dendy masing-masing melanggar Artikel 50.1 (d), Kod Tatatertib FAM berkenaan salah laku terhadap lawan atau individu selain pegawai perlawanan apabila dilayangkan kad merah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Baljit, Mafry berkelakuan ganas menendang paha pemain Felda United, Gaston Cellerino pada perlawanan antara Felda United dan Pulau Pinang di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 9 April.

Dendy pula dilayangkan kad merah kerana memijak perut pemain Terengganu, Issey Farran Nakajima pada perlawanan antara Terengganu dan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 7 April.

Baljit berkata Mohd Zulkiffli didapati melanggar Artikel 50.1 (d) kerana menampar pipi pemain Terengganu, Muhammad Fakrul pada perlawanan Piala Presiden antara UiTM FC dan Terengganu di Stadium UiTM, Shah Alam pada 13 April manakala dalam perlawanan sama, Muhammad Fakrul Wahib dilayang kad merah kerana menumbuk dada pemain UiTM FC, Mohd Zulkiffli Zakaria.

Beliau berkata Persatuan Bola Sepak Ipoh dan DYS FC, masing-masing didenda sebanyak RM1,500 bagi setiap kes iaitu jumlah keseluruhannya RM6,000 bagi empat kes.

"Kesalahan Persatuan Bola Sepak Ipoh adalah melanggar Artikel 67, Kod Tatatertib FAM berkenaan kegagalan menghormati keputusan apabila tidak menjelaskan gaji tertunggak empat bekas pemainnya iaitu Muhammad Ammar Abd Aziz, Sirajuddin Isa, Muhamad Hasnan Mat Isa dan Muhammad Azwan Jatin dalam tempoh yang ditetapkan.

"DYS FC pula melanggar artikel sama kerana masih belum menjelaskan gaji tertunggak empat bekas pemainnya iaitu Razid Gafar, Mohd June Azrul Lalah, Zainizam Marjan dan Mohd Reithuddin Ag Emran walaupun telah diarahkan oleh Jawatankuasa Status FAM," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS