Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

FAM sedang mencari seorang jurulatih yang mampu memikul tanggungjawab mengendali skuad Harimau Malaya bagi jangka masa panjang dan boleh menerima tawaran gaji yang diberikan oleh persatuan itu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihak persatuan sangat teliti memilih pengganti Datuk Ong Kim Swee untuk mengemudi skuad kebangsaan itu.

Menurut beliau untuk memilih jurulatih tidak semudah membeli buku, kerana sekiranya jurulatih itu tidak cukup baik dan perlu digantikan, ia akan memakan belanja yang lebih besar.

"Pada masa ini, begitu ramai yang bertanya di mana jurulatih kebangsaan. Anda perlu tahu, presiden yang ada sekarang ini (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) sedang menguruskan organisasi yang diambil dari pengurusan yang lama, dengan dana yang berbaki sedia ada hanya sedikit sahaja ditinggalkan.

"Buat masa ini sudah ada satu calon dari Portugal dan ada lagi satu calon yang akan berjumpa dengan Tunku Ismail dalam beberapa hari lagi.

"Baginda juga tidak mahu bercakap banyak kerana perkara ini masih dirahsiakan...kita hanya boleh kongsikan dengan pihak media selepas perkara ini telah disahkan," katanya menerusi catatan terbaharu dalam Facebook rasmi FAM, hari ini.

Hamidin berkata tawaran kepada bakal pengendali skuad Harimau Malaya itu tidak begitu tinggi kerana masalah kewangan persatuan itu, malahan Tunku Ismail terpaksa menggunakan duit sendiri untuk menambah peruntukan bagi melantik dan mendapatkan jurulatih yang lebih berkaliber.

"Oleh itu, bersabarlah. Janganlah cepat sangat melenting. Kita perlu mendapatkan jurulatih untuk persatuan yang tidak ada duit dan Tunku Presiden sendiri membantu dengan menggunakan duitnya sendiri. Jadi silalah faham dan tunjukkan sikap profesional sedikit," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS