Malaysia sedia untuk SEABA di Filipina
Pasukan bola keranjang lelaki kebangsaan bakal beraksi dalam kejohanan Asia Tenggara yang bakal bermula pada 12 Mei ini di Manila, Filipina.
Pasukan lelaki senior dan bawah 16 tahun akan berentap dalam kejohanan yang akan bersama enam negara lain termasuk Filipina, Singapura, Vietnam, Myanmar, Thailand dan Indonesia.
Walaupun Filipina umumnya agak sukar ditandingi, ramai penganalisis kejohanan bola keranjang rantau ini menyifatkan Malaysia dan Singapura sebagai 'kuda hitam' – mampu mencabar status quo Filipina sebagai pasukan terbaik Asia Tenggara.
Dalam acara penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan kebangsaan, presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Lua Choon Hann mengharapkan prestasi yang baik dalam kejohanan tersebut.
Beliau juga mengumumkan kerjasama bersama MABA dan bahagian sukan Kementerian Pendidikan untuk menghantar pemain-pemain junior bola keranjang kebangsaan ke sekolah sukan Bukit Jalil.
Penyertaan pasukan kebangsaan dalam kejohanan SEABA kali ini juga sebagai persediaan untuk pasukan lelaki sebelum Sukan SEA pada bulan Ogos nanti.
Pasukan wanita kebangsaan yang pernah menjulang pingat emas dalam Sukan SEA 2015 di Singapura pula masih di Jepun untuk latihan persediaan.
Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan pasukan lelaki Goh Cheng Huat berkata pemain-pemain untuk kejohanan di Manila kali ini adalah antara yang paling muda.
3 pemain muda
Gandingan dengan beberapa pemain lama, katanya lagi, akan dapat memberi kelebihan untuk mereka.
Beliau turut mengharapkan tiga pemain muda seperti Teo Kok Hou, Vincent Chong Yuen Yew dan Heng Yee Tong memberikan prestasi yang terbaik.
Yee Tong yang baru berusia 19 tahun dari Johor pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam kejohanan bola keranjang piala FIBA Asia 3X3 yang berlangsung di Malaysia tahun lalu.
Ketika ditemui wartawan semalam, beliau berkata ini adalah pengalaman baru buat dirinya untuk mewakili Malaysia di arena SEABA nanti.
"Ini merupakan kali pertama saya mewakili Malaysia untuk kejohanan SEABA. Dulu, saya pernah beraksi dalam SEABA bawah 16 tahun tetapi kejohanan ini amat berbeza.
“Tetapi, saya tetap akan memberikan usaha yang sebaik mungkin untuk pasukan Malaysia," kata Heng dalam sidang media memperkenalkan pasukan kebangsaan lelaki dan wanita di Stadium MABA semalam.
Turut disenaraikan dalam pasukan kebangsaan termasuk Teo Kok Hou, Choo Wei Hong dan Ting Chun Hong dari Westports Malaysia Dragons.
Timbalan Menteri Kewangan II Senator Datuk Lee Chee Leong dan Timbalan Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Mahender Singh juga dijemput menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan senior dan junior kebangsaan.
Malaysia akan bertemu Thailand dalam perlawanan pertama Jumaat ini.

