Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
TMJ tak rela Harimau Malaya ke Pyongyang
Diterbitkan:  May 11, 2017 11:38 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Presiden FA, Tunku Ismail Sultan Ibrahmi menegaskan betapa beliau tidak bersetuju untuk melepaskan skuad bola sepak kebangsaan ke Pyongyang, Korea Utara Kelayakan Piala Asia 2019, pada 8 Jun ini.

Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ), kerajaan Malaysia tidak menggalakkan pasukan Harimau Malaya untuk pergi ke negara Korea Utara disebabkan oleh isu diplomatik yang sedang berlaku sekarang ini.

"Sehingga kini Kerajaan Malaysia tidak ada mengeluarkan sekatan perjalanan cuma nasihat mengenai perjalanan (Travel Advisory) dan itu tidak mencukupi untuk AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) untuk menukarkan venue perlawanan asal ke venue neutral.

"Saya selaku presiden FAM amat mengambil berat berkenaan isu keselamatan pemain-pemain negara dan agak sukar bagi saya sebenarnya dalam situasi ini untuk melepaskan mereka ke sana," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, AFC mengumumkan aksi antara Malaysia dan Korea Utara dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 akan dilangsungkan di Pyongyang.

Keputusan itu dicapai berikutan pengesahan FAM bahawa tiada sekatan perjalanan dikenakan kerajaan.

Skuad Harimau Malaya asalnya dijadual menentang Korea Utara di Stadium Kim Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac lalu tetapi kerajaan melarang pasukan itu daripada pergi ke sana atas sebab keselamatan.

Ia susulan ketegangan antara kedua-dua negara akibat pembunuhan Kim Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb lepas.

Isu sabotaj

Tunku Ismail berkata, beliau tidak setuju sama sekali skuad negara pergi ke Korea Utara tetapi keputusan tersebut terletak pada kerajaan dan menteri.

Tambah beliau, keutamaannya adalah keselamatan rakyat Malaysia dan FAM harus membuat keputusan untuk meletakkan keselamatan rakyat sebagai agenda pertama dan bukan membuat keputusan berdasarkan situasi politik.

"Perkara ini terletak kepada apa kerajaan Malaysia dan penyokong bola sepak tanah air inginkan.

"Sekiranya FAM tidak melepaskan Harimau Malaya pergi ke perlawanan tersebut di Pyongyang, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0.

"Tambahan lagi kita juga akan didenda sehingga USD50,000 dan akan disingkirkan daripada pertandingan piala kelayakan di Asia," jelasnya.

Sementara itu, beliau menyatakan kebimbangan juga timbul dengan kemungkinan skuad negara akan disingkirkan daripada mana-mana perlawanan AFC pada masa akan datang.

Seolah-olah buntu dengan situasi semasa, Tunku Ismail melontarkan persoalan apa yang perlu dilakukan kini.

"Saya sememangnya mahukan perlawanan ini diadakan di venue neutral demi keselamatan para pemain negara.

"Selain itu, saya juga dimaklumkan oleh beberapa jurulatih yang pernah pergi ke negara tersebut bahawa situasi di negara tersebut agak teruk.

"Malah saya juga khuatir dengan masalah jaminan keselamatan serta layanan kemudahan penginapan dari segi tempat tinggal dan makanan di sana. Ini disebabkan maklumat yang saya terima mengatakan kami perlu membawa makanan sendiri kerana isu sabotaj," katanya.

Selain itu tambah beliau, seperkara lagi berkenaan masalah mutu pengadilan di sana kerana sekiranya terdapat keputusan yang tidak menyebelahi Korea Utara pastinya keselamatan pengadil akan terjejas sekali gus membuatkan pengadil tersebut akan tertekan.

Lihat Komen
ADS