Juventus kuat, Ronaldo tetap optimis
Bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo menegaskan pengalaman menjadi kunci utama membawa pasukannya ke perlawanan akhir Liga Juara-juara selepas menyingkirkan Atletico Madrid pada aksi separuh akhir.
Walaupun tewas 1-2 pada perlawanan kedua awal pagi tadi, skuad bimbingan Zinedine Zidane tetap berkelebihan dengan agregat 4-2 mengatasi Atletico.
"Kami tahu bahawa dengan jaringan kami dapat menyingkirkan mereka. Kami memiliki lebih banyak pengalaman dan kami telah buktikannya," kata Ronaldo seperti dilaporkan Football Italia.
Pemain kelahiran Portugal itu menyumbang gol hatrik ketika Real Madrid menang 3-0 ke atas Atletico pada perlawanan separuh akhir pertama sebelum ini.
Di pentas final pada 4 Jun nanti, skuad Los Blancos akan berdepan kelab dari Itali, Juventus pada perlawanan yang bakal berlangsung di Cardiff, Wales.
Ronaldo menyifatkan, Juventus akan menjadi lawan sukar mereka pada perlawanan akhir itu nanti walaupun tetap optimis dengan kekuatan Real Madrid.
"Segalanya mungkin verlaku, tapi saya lihat pasukan ini (Juventus) dan pasukan kami sangat kuat.
"Barisan pemain sangat bagus, sama ada yang sering beraksi ataupun jarang," katanya.

