Mampukah Malaysia menerkam Thailand
SEABA | Kejohanan bola keranjang Asia Tenggara membuka tirainya hari ini dalam siri kejohanan ke-12 yang berlangsung di kota raya Manila, Filipina.
Pasukan bola keranjang lelaki Malaysia kini berada di tangga ke-47 dunia mengikut ranking FIBA dan tempat kedua ASEAN, di belakang pasukan tuan rumah Filipina yang juga menduduki ranking terbaik di ASEAN dan ketiga di Asia.
Bukannya mudah buat Malaysia menandingi Filipina yang dibarisi pemain handalan dari liga PBA.
Antaranya point guard Matthew Wright yang pernah mewakili Westports Malaysia Dragons dalam musim 2015-2016 dan menjuarai liga Asean Basketball League (ABL). Beliau juga dinobatkan sebagai pemain terbaik Asean ketika itu.
Malaysia akan bertemu pasukan tuan rumah pada Ahad ini.
Pasukan muda, cabaran di Thailand
Dalam aksi perlawanan pertama petang nanti bersama Thailand, tidak dinafikan pasukan senior Malaysia adalah antara yang paling muda berbanding pasukan-pasukan lain.
Segelintir pemain utama pasukan kebangsaan seperti Chee Li Wei, Loh Shee Fai, Kuek Tian Yuan dan Ivan Yeo tidak akan bertanding dalam kejohanan kali ini dalam persediaan Sukan Sea pada bulan Ogos nanti.
Sungguhpun begitu, ia tidak mengurangkan prestasi barisan pemain yang dibarisi gandingan pemain veteran dan muda termasuklah Chin Zhi Shin (30 tahun) dan Chan Kek Thai (34 tahun), selain Alvin Ang yang pernah mewakili negara sebagai ketua pasukan bawah 18 tahun pada tahun 2011.
Namun, barisan pasukan Thailand tidak kurang hebatnya dengan Wutipong Dasom, Kannut Samerjai dan Canachon Klahan yang pernah mewakili Hi Tech Bangkok City, juara dua kali liga ABL manakala Ananti pula mewakili Mono Vampire, juara liga profesional di Thailand.
Kekuatan pasukan Thailand sudah dijangka akan memberikan saingan yang agak hebat dan mereka pernah menjuarai SEABA pada tahun 2013. Malaysia mendapat tempat kedua pada tahun itu yang hanya mempunyai empat pasukan bertanding termasuk Singapura dan Indonesia.
Malaysia pula pernah menjuarai kejohanan SEABA pada kejohanan pertama pada tahun 1994, mengalahkan Filipina dan Thailand pada masa itu. Malaysia mengulangi kemenangan 11 tahun kemudian pada tahun 2005.
Ramai pemain muda negara tidak mempunyai pengalaman beraksi di liga antarabangsa berbanding pemain utama dari negara Asean yang lain, tetapi kebanyakan pemain dalam kejohanan ini telah bertungkus lumus dalam kesiap sagaan beberapa bulan lalu dalam liga pembangunan PBA (PBA D-League) yang berakhir tahun lalu.
Pengalaman bermain di liga Filipina sedikit sebanyak telah memberikan latihan yang baik untuk kejohanan ini serta Sukan Sea yang akan datang.
Masa untuk maju ke hadapan
Bagi Chin Zhi Shin, anak kelahiran Johor yang sudah berkecimpung dalam arena bola keranjang sejak bangku sekolah mengharapkan yang terbaik dalam perlawanan menentang Thailand.
"Sebelum ini, kita mempunya Guganeswaran, Chee Li Wei dan Satyaseelan dalam pasukan kebangsaan dan mereka banyak membantu sebagai abang kami dalam pasukan. Kini, pasukan ini agak muda tetapi mempunyai potensi yang baik.
"Kita perlukan masa, keyakinan dan kesabaran untuk beraksi dalam gelanggang, nescaya kami dapat membuktikannya," kata Chin, 30, yang baru mengikat perkahwinannya akhir tahun lalu,
Beliau juga menambah bahawa sebagai pemain veteran dalam pasukan ini memerlukan dorongan untuk pemain muda yang lain di gelanggang mahupun di luar. Chin juga mahu berkongsi pengalamannya dalam SEABA untuk kali ketiga.
"Walaupun sukar untuk menandingi Thailand, saya tetap yakin untuk memenangi perlawanan itu. Ikut strategi yang telah dirancang dan juga yakin dengan tunjuk ajar ketua jurulatih."
Sebanyak tujuh negara turut serta dalam kejohanan ini dan perlawanan ini diadakan mengikut sistem round robin. Hanya pasukan tempat pertama dalam kejohanan SEABA akan layak ke Piala FIBA Asia pada bulan Ogos nanti.
Berikut adalah perlawanan untuk 12 Mei dan 13 Mei:
12 Mei 2017 (Jumaat)
3PM - Indonesia vs Singapura
5PM - Malaysia vs Thailand
7PM - Myanmar vs Filipina
13 Mei 2017 (Sabtu)
3PM - Vietnam vs Thailand
5PM - Indonesia vs Malaysia
7PM - Filipina vs Singapura

