Klopp tegaskan Coutinho kekal di Anfield
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp pantas menepis spekulasi bahawa pemain sandaran The Kop, Philippe Coutinho akan berhijrah ke Barcelona pada jendela perpindahan musim panas ini.
Jurulatih berusia 49 tahun itu menegaskan Coutinho tidak akan ke mana-mana dan akan kekal di Anfield.
Hujah Klopp itu diperkuatkan dengan alasan pemain kelahiran Brazil itu baru saja menandatangani lanjutan kontrak pada Januari lalu untuk berkhidmat bersama Liverpool sehingga 2020.
"Bila dia tandatangani kontrak baru? Tentu saja tidak ada rancangan untuk menjualnya.
"Apa yang dikatakan pemilik kelab kami, pasti tiada peluang untuk melepaskan sesiapa pun jika kami enggan.
"Itu bermaksud kami boleh membawa pemain lain dan ini situasi yang bagus. Kami memiliki skuad yang stabil dengan dasar yang baik," katanya seperti dilaporkan media Inggeris.
Terdahulu, gosip kencang melanda Coutinho yang dilaporkan bakal meneruskan kariernya bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona pada musim depan.
Bagi musim 2016-2017, Liverpool kini berbaki dua perlawanan lagi berada d kedudukan ketiga EPL selepas mengumpul 70 mata hasil 36 perlawanan.
Mereka dilihat berpeluang untuk ebrada dalam kelompok empat pasukan teratas sekiranya mampu mengutip enam mata pada aksi berdepan West Ham United dan Middlesbrough selepas ini.
Sementara itu, Klopp menyatakan hasratnya untuk membawa beberapa pemain berpotensi dan pada masa sama tiada pemain akan tinggalkan Liverpool tanpa kebenaran kelab pada musim depan.

