Cheng Hoe yakin Kedah ke final Piala FA
Dua pasukan akan melangkah ke pentas akhir Piala FA 2017 dalam penentuan separuh akhir dua, malam esok.
Kedah selaku pasukan pilihan dan berbekal satu gol akan berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu berdepan cabaran pasukan Terengganu.
Prestasi skuad Helang Merah dilihat agak membimbangkan selepas tampil kurang konsisten dalam kancah Liga Super selepas ketiadaan jurulatihnya, Tan Cheng Hoe.
Kini dikemudi Mohd Nidzam Adzha Yusoff, keghairahan Helang Merah sedikit sebanyak kurang menyakinkan selepas hanya beroleh satu gol pada aksi separuh akhir pertama melayan kunjuang Skuad Penyu di Stadium Darul Aman, 30 April lalu.
Kemudiannya mereka menggempur gawang PKNS FC pada aksi ke-12 Liga Super Selasa lalu, namun berjaya diikat dengan keputusan seri 4-4 di minit-minat akhir perlawanan.
Mahu atau tidak, Kedah nampaknya tidak boleh selesa dan kerja keras mereka menjadi penentu sama ada mampu menangani anak buah Irfan Bakti Abu Salim dengan baik atau sebaliknya.
Helang Merah secara tidak langsung sudah sebelah kaki ke pentas akhir, namun dengan bekalan satu gol begitu sukar untuk menjangkakan nasib mereka.
Bagi Cheng Hoe, walaupun tidak lagi bersama Kedah, beliau tetap yakin Mohd Nidzam mampu membawa Baddrol Bakhtiar dan rakan-rakan ke pentas akhir Piala FA.
"(Dengan) prestasi agak tidak konsisten, saya lihat Kedah cukup bermotivasi untuk melangkah ke perlawanan akhir dengan sasaran untuk meraih satu piala pada musim ini.
"Walaupun beraksi di tempat lawan selepas kemenangan di gelanggang sendiri, ini adalah peluang terbaik untuk mereka ke perlawanan akhir," katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, satu lagi perlawanan melibatkan pertembungan antara Negeri Sembilan dan Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Skuad Tok Gajah juga dengan bekalan satu gol dibawa dari Stadium Darul Makmur, Kuantan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Dollah Salleh dan anak buahnya.
Pastinya percaturan terbaik diperlukan untuk mengekalkan momentum kemenangan sekali gus bermegah ke pentas akhir selepas berjaya menyingkirkan JDT di saingan suku akhir.

