Terengganu tekad menentang Kedah habis-habisan walau siapa sekalipun pemain diturunkan dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Peluang bermain di padang sendiri juga mampu memberi kelebihan apatah lagi dengan sokongan kira-kira 10,000 penyokong tegar termasuk ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) yang sentiasa memberi semangat untuk menggempur gol pasukan lawan.

Pengendali pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim berkata sasaran utama tentunya untuk meletakkan pasukan di pentas final dan bagi mencapai tujuan itu semua pemain telah diminta untuk melupakan kekalahan sebelum ini.

"Bermain secara mutlak untuk ke final. Kita dah lupakan segalanya. Semua pemain akan tumpukan perhatian pada perlawanan penutup yang penting itu nanti. Bermain di tempat sendiri memberi satu kelebihan dan saya berharap pemain dapat memberi komitmen yang tinggi dalam perlawanan itu, " katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, kecergasan dan kesihatan pemainnya berada pada tahap baik kecuali Adib Aizuddin Ab Latif yang mengalami kecederaan.

"Pada perlawanan lalu, Kedah dilihat tidak menurunkan sebahagian besar pemain utama...mungkin bagi memberi tumpuan pada perlawanan esok. Namun tidak kira siapa pun yang diturunkan, kita akan bagi tentangan sengit," katanya.

Perlawanan malam esok ini bakal menyaksikan persaingan sengit dan mungkin mampu menghasilkan aksi lebih menarik kerana pengendali kedua-dua pasukan menerapkan taktikal berbeza selain laungan sokongan penyokong yang mampu memberi motivasi kepada pemain.

"Di peringkat ini apa sahaja boleh berlaku dan kehadiran penonton Terengganu amat diperlukan," katanya yang mula mengendalikan pasukan Terengganu sejak awal tahun ini.

-Bernama