Pengurus Chelsea, Antonio Conte menegaskan perubahan formasi dalam persembahan anak buahnya menjadi kunci utama kejayaan mereka meraih kejuaraan EPL musim ini.

Walaupun skuad The Blues tampil lemah di awal musim, jurulatih dari Itali itu menukar formasi pasukannya dari 4-4-2 kepada 3-4-3 pada September tahun lalu.

Susulan itu, mereka mempamerkan prestasi memberangsangkan untuk mengungguli pencabar lain.

"Saya fikir keputusan (ubah formasi) mengubah nasib kami. Sebelum itu kami tidak memiliki keseimbangan yang tepat," katanya seperti dilaporkan Sky Sport.

Awal pagi tadi, Chelsea mengesahkan gelaran itu menjadi milik mereka selepas menang tipis 1-0 ke atas West Bromwich Albion.

Kemenangan itu ditentukan melalui gol jaringan Michy Batshuayi pada minit ke-82 membolehkan mereka mengutip tiga mata penting sekali gus mengulangi kejayaan dua musim lalu.

Keputusan itu menjadikan mereka mengumpul 87 mata selepas mengharungi 36 perlawanan berbanding pencabar terdekat Tottenham Hotspur dengan 77 mata selepas 35 aksi.

Conte berkata, keputusannya untuk mengubah formasi pasukan dibuat selepas Chelsea tewas kepada Liverpool dan Arsenal.

"Saya mahu mengubah dan menampilkan taktikal baru dan dalam fikiran saya adalah pilihan untuk bermain dengan 3-4-3.

"Ini kerana saya tahu karektor pemain, formasi ini akan membuat kami lebih serasi," katanya.

Mengulas kejayaan itu, jurulatih 47 tahun itu berkata dia amat berpuas hati dengan prestasi pasukan yang akhir membuktikan hasil kerja keras mereka.

"Ini adalah prestasi terbaik bagi pemain. Saya perlu berterima kasih atas komitmen dan kerja keras mereka.

"Mereka menunjukkan kesabaran dan keinginan kuat untuk cuba melakukan sesuatu yang hebat musim ini.

"Dan sekarang setelah kemenangan ini, kita layak bergembira untuk sepanjang musim ini," katanya.

Sementara itu, rekod EPL menyaksikan Conte muncul sebagai jurulatih keempat yang berjaya muncul juara bersama pasukan pada musim pertama.

Selepas ini, Conte bepeluang untuk meraih trofi keduanya The Blues apabila bakal berdepan Arsenal pada aksi akhir Piala FA, hujung bulan ini.