Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Harimau Malaya ke Pyongyang ditentukan Wisma Putra
Diterbitkan:  May 13, 2017 6:17 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Luar Negeri untuk memutuskan sama ada skuad bola sepak kebangsaan masih beraksi di Pyongyang, Korea Utara pada 8 Jun ini bagi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019.

Menterinya, Khairy Jamaludin berkata keputusan itu merupakan bidang kuasa Kementerian Luar Negeri dan dilihat lebih layak dan bertanggungjawab dalam menguruskan sekatan lawatan rakyat Malaysia ke mana-mana negara luar.

"Kementerian Luar Negeri yang sebenarnya menentukan dasar kita (kerajaan) berkenaan dengan sekatan lawatan ini dan saya telah meminta mereka untuk memaklumkan sendiri kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tentang pendirian kerajaan.

"Saya cuma jaga sukan dan dari segi sekatan lawatan kita ke negara-negara lain, lebih baik kenyataan tersebut dibuat sendiri oleh Kementerian Luar Negeri," katanya.

Khairy berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini yang tidak setuju skuad negara dihantar ke Pyongyang.

Beliau ditemui ketika program Pelepasan Larian Obor Kuala Lumpur 2017 sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 (KL2017) di perkarangan Muzium Tokoh Johor, Bukit Senyum di Johor Bahru, hari ini.

Khairy berkata sebarang kenyataan dari Kementerian Luar Negeri itu akan dilakukan dalam masa terdekat setelah mengambil kira perbincangan KBS bersama mereka sebelum ini.

Minggu lepas, Tunku Ismail menegaskan baginda tidak bersetuju skuad negara dihantar ke Pyongyang kerana memandang serius isu keselamatan pemain rententan situasi di negara komunis itu kurang menyakinkan.

Tunku Ismail juga memohon agar perlawanan tersebut dapat diadakan di lokasi neutral, sekali gus memastikan pasukan negara tidak terlepas sebarang aksi dan tidak perlu menanggung akibat seperti didenda atau disingkirkan daripada Konfederasi Bolas Sepak Asia (AFC).

-Bernama

Lihat Komen
ADS