Malaysia kecundang lagi berdepan pasukan Indonesia dengan perbezaan 21 mata mengakhiri saingan kedua dengan keputusan 63-42, Kejohanan Bola Keranjang Asia Tenggara (SEABA), di Manila hari ini.
Walaupun Indonesia tidak dapat menggunakan pemian sandaranya, Arki Wisnu dan Jamar Johnson akibat masalah dokumentasi, suku masa pertama agak rumit untuk pasukan Malaysia menembusi pertahanan pasukan lawan.
Namun, di suku ketiga skuad negara merapatkan jurang kutipan mata Indonesia tetapi gagal bertahan dalam persaingan pada suku keempat.
Kekalahan kali ini agak mengecewakan buat ketua jurulatih Malaysia, Goh Cheng Huat yang menyifatkan pasukan kebangsaan sepatutnya mampu menangani Indonesia.
"Pertahanan kali ini agak baik, mereka dapat menepati sasaran saya. Pada suku ketiga, saya menaruh harapan tinggi kita dapat kembali menyamakan mata, tapi dalam suku keempat tetapi tidak berjaya.
"Banyak jaringan oleh pemain-pemain kita terlalu terburu-buru dan merugikan peluang kita menyaingi Indonesia," katanya kepada media selepas perlawanan.
Suku pertama berakhir dengan 12-6, dan Malaysia hanya mampu meraih satu jaringan daripada 10 percubaan. Prestasi yang sangat berbeza dengan perlawanan sebelum ini menentang Thailand.
Sukar, tetapi bukannya mustahil untuk mereka mula menggerakkan serangan terhadap Indonesia. Setakat pertengahan suku kedua, Malaysia dapat mengurangkan defisit jaringan lawan.
Indonesia hanya mampu menjaringkan empat mata, manakala Malaysia hasil jaringan Ting Chun Hong memperolehi tujuh mata.
Jaringan buzzer Diftha Pratama menamatkan separuh masa pertama dan menjauhkan mata untuk Indonesia sebanyak sembilan mata, 28-19. Separuh masa pertama menunjukkan prestasi pasukan Malaysia yang kurang memuaskan dengan hanya 14 peratus jaringan (4 jaringan daripada 28 percubaaan) berbanding Indonesia, 32 peratus.
Aksi pertengahan suku ketiga, pasukan kebangsaan yang pada mulanya ketinggalan hampir 15 mata bagaikan 'hidup kembali' dengan jaringan bertubi-tubi daripada Chun Hong dan Teo Kok Hou sebelum suku ini diakhiri dengan keputusan 44-37.
Suku terakhir sukar buat Malaysia apabila Abraham Grahita membolosi jaringan demi jaringan. Pertahanan negara semakin rapuh dan tidak bermaya walaupun ada percubaan barisan pemain negara merapatkan jurang mata.
Sementara itu, Malaysia bakal menentang tuan rumah Filipina esok pada pukul 5 petang untuk perlawanan ketiga.
Berikut keputusan penuh perlawanan hari ini:
1. Vietnam vs Thailand (49-76)
2. Indonesia vs Malaysia (63-42)
3. Filipina vs Singapura (113-66)
Perlawanan untuk SEABA bawah 16 tahun juga akan bermula pagi esok. Pasukan Malaysia akan berentap dengan Indonesia pada jam 10 pagi.
