Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan

Kemampuan pasukan Malaysia menandingi Filipina pernah disanjung oleh pasukan lain di Asean.

Kalah atau menang adalah adat permainan, namun pasukan bola keranjang negara perlu berusaha lebih gigih lagi jika mahu menempa nama pada pingat Sukan SEA nanti.

Malaysia kalah kepada Thailand dan Indonesia dalam perlawanan awal, masing-masing dengan 67-74 dan 63-42.

Ketika ditemui Malaysiakini selepas perlawanan menentang Indonesia, ketua jurulatih Goh Cheng Huat, 61, mengakui anak buahnya yang agak muda dan kurang berpengalaman tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan corak permainan.

"Mereka (Indonesia) tiba-tiba mengubah strategi pertahanan yang agresif. Pemain kita tidak dapat menyesuaikan diri dan mereka membuat jaringan yang terburu-buru.

"Saya rasa, saya harus bertanggungjawab. Saya mula mencari bakat baru untuk dicuba sebagai pemain permulaan tetapi percubaan itu gagal kerana mereka tidak mampu bermula dengan baik," kata Goh.

Dia juga berkata, suku ketiga merupakan peluang yang terbaik untuk Malaysia mengikat mata bersama Indonesia tetapi peluang itu tersia-sia kerana masalah yang timbul pada suku keempat.

Peluang baik bersaing

Goh berasakan kesilapan itu merupakan pengajaran yang baik untuk membina kekuatan baru dalam pasukan kebangsaan.

"Dalam suku terakhir, saya cuba mengubah strategi untuk membawa pemain tengah lawan keluar - agar shooter kita dapat membuat jaringan.

"Namun, hanya beberapa pemain sahaja yang mampu melakukannya. Ini adalah strategi mudah tetapi ramai pemain kita agak kurang pengalaman.

"Tapi sekurang-kurangnya, saya telah mencuba. Sekiranya pemain yang lebih berpengalaman seperti Kuek Tian Yuan, keputusannya mungkin berbeza.

"Saya tetap akan menguruskan situasi yang sedia ada dan saya percaya jika semua pemain utama beraksi, kita dapat mengalahkan mereka," katanya.

Menurut Goh juga, Ting Chung Hong pemain muda yang baru berusia 21 tahun memberikan persembahan yang paling baik dalam perlawanan itu dengan menyumbang 16 mata.

Katanya walaupun kalah dalam dua perlawanan, pasukan Malaysia perlu meneruskan perjalanan dalam kejohanan ini.

"Sejak dari mula lagi, kita memulakan perlawanan seperti pasukan lain juga. Kita juga meneliti dan mempelajari pasukan lain Asean yang lain.

"Saya agak yakin kita punya barisan pemain yang baik untuk menyaingi mereka dalam Sukan SEA nanti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS