Anak kelahiran Sarawak tonjol kehebatan di Manila
SEABA John Tang, 16 tahun yang berasal dari daerah kecil di utara Sarawak, Batu Niah memberikan persembahan yang cukup membanggakan di arena kejohanan bola keranjang Asia Tenggara SEABA bawah 16 tahun.
Dalam perlawanan pertama menentang Indonesia, Tang berjaya menjaringkan 23 mata dan memimpin pasukannya mendapatkan kemenangan yang agak tipis dalam situasi yang agak mencemaskan.
Indonesia hampir mengalahkan pasukan kebangsaan pada suku terakhir dan berkat gandingan pemain-pemain dalam pasukannya seperti Jason Khor dan Teoh Yi Kang pada dua minit terakhir, Malaysia menamatkan Indonesia akhirnya.
"Pada mulanya kita beraksi agak longgar dan melakukan banyak kesilapan turnover. Selepas nasihat jurulatih, mujurlah kami dapat mengutip kembali apa yang kami tinggalkan pada awalnya.
"Permulaan lima minit pertama perlawanan, kami agak cemas. Untuk saya, OK saja. Saya tahu kami dapat mengalahkan mereka (Indonesia)," Tang juga merupakan ketua pasukan kebangsaan bawah 16 tahun.
Ini merupakan kali pertama Tang beraksi dalam kejohanan antarabangsa dan selain pertandingan bola keranjang terbuka, Tang menyifatkan pendedahan ini dapat menonjolkan kekuatan dan juga kelemahan, terutamanya untuk pemain Malaysia.
John memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mula berjinak dalam bola keranjang dengan bapanya sejak kecil di Batu Niah, Sarawak. Batu Niah terletak berdekatan dengan bandaraya Miri sejauh 82 kilometer di utara Sarawak.
Walaupun tiada latihan formal dalam bola keranjang semasa di bangku sekolah, Tang dengan ketinggian 183 cm serta pergerakannya yang sangat efektif memberikan beliau kelebihan menandingi ramai pemain dari negara lain.
Tang mengharapkan keputusan yang terbaik dalam kejohanan ini dan yakin akan dapat layak ke Piala FIBA Asia bawah 16 tahun kelak.

