Malaysia ungguli perlawanan pertama menentang Indonesia
SEABA U16 | Minit-minit terakhir perlawanan antara Malaysia dan Indonesia yang terikat dengan 57-57 memberikan dorongan tambahan untuk pemain kebangsaan bawah 16 tahun menamatkannya dengan kemenangan.
Malaysia berjaya menumpaskan pasukan Indonesia sebanyak lima mata, 63-58.
Pasukan junior kebangsaan antara lima negara yang menyertai kejohanan bola keranjang Asia Tenggara SEABA bawah 16 tahun selain Filipina, Singapura, Thailand dan Indonesia. Dua pasukan teratas akan layak ke Piala FIBA Asia bawah 16 tahun nanti.
Menurut ketua jurulatih pasukan kebangsaan Lee Kheng Tian yang menarik nafas lega selepas dikejutkan dengan serangan Indonesia yang mengikat mata pada saat terakhir.
"Saya yakin dengan pemain-pemain, mereka sebenarnya mampu menandingi pasukan lawan dari semua aspek. Maklumlah, mereka masih muda dan kurang pendedahan terutamanya di arena antarabangsa.
"Agak gementar juga untuk mereka. Tidak dapat mencapai potensi terbaik untuk pemain. Saya harap kita dapat beraksi lebih baik esok (menentang Thailand)," kata Lee ketika ditemui wartawan selepas perlawanan.
John Tang, pemain yang berasal dari Batu Niah, Sarawak menampilkan aksi yang paling baik dalam perlawanan kali ini bersama Indonesia. Beliau berjaya menjaringkan 23 mata, 9 rebound dan 2 assist.
Sementara itu, Jason Khor dan Yap Run Sam tidak ketinggalan dengan sumbangan 11 mata dan 10 mata masing-masing.
Malaysia memulakan rentak yang baik pada permulaan suku pertama dan menjaringkan 7-2, hasil jaringan daripada John Tang dan Kevin Chandaran.
Pemain Malaysia yang kelihatan agak gementar dalam perlawanan pertama mereka dan Indonesia mengikat mata 9-9 pada pertengahan suku. Malaysia akhiri suku pertama dengan 21-15.
Pasukan kebangsaan meneruskan penguasaan mereka di gelanggang walaupun dicabar beberapa kali oleh Indonesia. Ramai pemain Indonesia mempunyai purata ketinggian yang jauh lebih rendah dari Malaysia, tetapi ketinggian bukan masalah untuk mereka.
Sungguhpun Malaysia mendahului Indonesia dengan 9 mata pada awalnya, hasil dua jaringan tiga mata oleh Yap Run Sam tetapi mudah dikejar oleh pemain Indonesia Ananta Taringan menjaringkan 6 mata untuk menghampiri mata yang dikumpul Malaysia.
Separuh masa pertama berakhir dengan kelebihan untuk Malaysia, 37-33. Walaupun Malaysia mendahului pada awalnya, kesilapan pemain dengan 18 turnover berbanding Indonesia dengan hanya 8 turnover merumitkan kelebihan untuk Malaysia.
Kurangnya pergerakan yang konsisten dan kerap kali terjebak dengan turnover lebih 30 kali, Malaysia pada mulanya mendahului Indonesia sebanyak 15 mata. Malaysia masih kekal di hadapan pasukan Indonesia dalam suku ketiga, 55-59.
Lima minit dalam suku terakhir, Malaysia langsung tidak mendapat apa-apa jaringan dan kerap mendapat turnover, memberikan peluang keemasan kepada Indonesia mengikat mata pada 57-57.
Namun, berkat keutuhan strategi serangan dan barisan pertahanan Malaysia, mereka dapat mengembalikan penguasaan.
"Banyak. Banyak kesilapan perlu dibaiki, termasuklah fast break. Untuk rebound, pasukan kita memang boleh melakukannya. Masalah utama, turnover dan kesilapan hantaran bola.
"Namun, walaupun prestasi yang kurang memuaskan, mereka tetap tidak berputus asa dan mengembalikan kemenangan dalam tangan kita," ujar Lee.
Malaysia akan menentang Thailand pada pukul 10 pagi esok.

