Pasukan bola keranjang Malaysia tewas di tangan pasukan 'gergasi' Filipina dengan perbezaan 55 mata, 106-51 apabila sukar menangani pemain lawan yang jauh lebih baik.

Suku pertama mencabar strategi Malaysia mempertahankan gelanggang namun sedikit demi sedikit mampu mengurangkan jurang defisit mata dengan pasukan lawan.

Jaringan tiga mata sebelum wisel penamat suku pertama daripada Ryan Liaw memberikan sagu hati untuk Malaysia, menjadikan kedudukan 17-36.

Filipina melonjak jauh dalam suku kedua dari perbezaan 25 mata kepada 35 mata, seterusnya mengakhiri separuh masa pertama dengan 61-26.

Seperti dalam perlawanan sebelum ini, Ting Chun Hong masih mengekalkan prestasinya yang agak baik dan menyumbangkan 7 mata.

Malaysia hanya dapat menjaringkan 10 daripada 31 percubaan (32 peratus) berbanding Filipina dengan 21 daripada 37 percubaan (56 peratus).

Dalam suku ketiga pula, Filipina menunjukkan penguasaan terutamanya bermain di bawah jaring hingga menyukarkan pemain Malaysia seperti Chan Kek Thai dan Choo Wei Hong menembusi jaringan.

Pada akhir suku ketiga, Filipina memungut 88 mata berbanding Malaysia 35. Alvin Ang dan Heng Yee Tong, masing-masing berjaya menjaringkan tiga mata  sebelum wisel penamat.

Prestasi lebih baik

Secara keseluruhannya, prestasi Malaysia lebih baik daripada jangkaan awal, dengan beberapa pemain muda menunjukkan kemajuan dalam perlawanan.

Sementara itu, pungutan sebanyak 33 mata dari pemain bench memberi sedikit sebanyak harapan di Sukan Sea nanti.

Menurut ketua jurulatih Goh Cheng Huat, beliau sudah mengingatkan pemain agar tidak terlalu memikirkan kekuatan lawan, namun berharap perlawanan itu menjadi pengalaman berharga buat pasukan negara.

"Kita sukar untuk melawan mereka. Sebenarnya, peluang berentap dengan Filipina adalah suatu pengalaman yang baik dan para pemain juga perlu mempelajari kelemahan mereka," kata Goh.

Beliau berkata, beberapa pemain menunjukkan prestasi dan keyakinan dalam gelanggang seperti Heng Yee Tong dan Teo Kok Hou, sementara Chan Kek Thai selaku pemain veteran di bahagian tengah banyak memberi sumbangan.

Pertemuan dengan Singapura esok dinanti-nantikan oleh ramai peminat bola keranjang di kedua-dua buah negara.

Singapura pernah mengalahkan Malaysia pada Sukan Sea yang lalu dan merampas pingat gangsa dari tangan Malaysia. Perlawanan pada jam 5 petang esok antara yang terakhir sebelum pertemuan di Sukan Sea.

"Walaupun harapan tinggi untuk kami mengalahkan Singapura, Malaysia akan memberikan yang terbaik nanti. Saya yakin kita adalah pasukan yang jauh lebih baik daripada dulu," tambah Goh.

Berikut adalah keputusan penuh untuk perlawanan hari ini:

1. Thailand vs Indonesia (59-60)
2. Myanmar vs Vietnam (44-77)
3. Malaysia vs Filipina (51-106)