Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Naluri TMJ bawa The Professor latih Harimau Malaya
Diterbitkan:  May 15, 2017 1:22 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Bekas tenaga penting di belakang pasukan bawah 20 tahun Portugal diumum secara rasmi sebagai pengendali skuad Harimau Malaya.

Turut dikenali dengan gelaran The Professor, tugas pertama Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada bersama skuad kebangsaan alah membawa cabaran negara di Pyongyang.

Dia yang lebih dikenali dengan nama Nelo Vingada diamanahkan untuk membawa Malaysia keluar 'sumpahan' nasib malang berterusan.

Dalam kenyataan hari ini FAM menyatakan selepas mencatur dan melaksanakan perancangan di Pyongyang pada 8 Jun, Vingada akan menguruskan Harimau Malaya di gelanggang sendiri untuk berdepan dengan Lubnan pada 13 Jun.

Gelaran 'The Professor' itu bukanlah diberikan sekadar suka-sukan.

Dianggap sebagai jurulatih yang memiliki kaedah pengurusan yang bijak, Vingada, 64, memulakan kerjaya kejurulatihannya sebagai pembantu Carlos Queiroz untuk pasukan bawah 20 tahun Portugal.

Bersama Queiroz, kedua-dua mereka telah membawa Portugal ke arah kejayaan bermula dari Piala Dunia Fifa Bawah-20 pada 1989 dan 1991.

Mungkin silap, tapi...

Vingada juga konsisten membawa pasukan itu mara ke separuh akhir acara utama seperti Piala Dunia Fifa Bawah-20 pada 1995 dan Sukan Olimpik 1996.

Menurut FAM, Vingada melibatkan diri dalam kerjaya sebagai pengurus sejak lebih 35 tahun lalu dan seorang tokoh yang popular di rantau Asia.

Sebelum ini dia menjadi ketua jurulatih untuk pasukan kebangsaan Arab Saudi (1996-1997), pasukan Olimpik Mesir (2004-05), pasukan kebangsaan Jordan (2007-09), dan skuad Olimpik Iran (2014).

Vingada turut berpengalaman bersama kelab Zamalek FC dari Mesir dan Seoul FC (Korea Selatan).

Dia dikenali sebagai seorang jurulatih yang mengamalkan corak kejurulatihan yang serius disertakan dengan ketegasan dan dominan.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata beliau mahu Harimau Malaya dibimbing seorang jurulatih yang boleh menjadi guru.

"Dalam pasukan kebangsaan, ia tidak hanya mengenai kejurulatihan tetapi memberi pendidikan kepada pemain.

"Dengan pengalaman dan usianya, FAM melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan," katanya.

Tunku Ismail juga berkata, selepas menilai banyak jurulatih tempatan dan asing, naluri beliau menyatakan Vingada adalah orang yang tepat untuk menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.

"Saya mungkin silap tetapi hanya masa yang akan menentukan," katanya.

Vingada dijangka tiba di Malaysia pada 25 Mei ini untuk memulakan tugasannya secara rasmi.

Lihat Komen
ADS