SEABA U16 | Pasukan bola keranjang kebangsaan bawah 16 tahun sekali lagi mengulangi momentum mereka dalam kejohanan bola keranjang Asia Tenggara SEABA selepas mengalahkan Thailand 12 mata hari ini.

Wong Thiam Mun menjaringkan 24 mata, 6 steal, 7 rebound dan 6 assist manakala John Tang dan Teoh Yi Kang masing-masing mendapat 16 mata dan 9 mata.

Ketua jurulatih kebangsaan Lee Kheng Tian berasa amat gembira apabila pemain-pemain Malaysia mempamerkan prestasi yang jauh lebih baik ketika menentang Indonesia semalam.

Dalam perlawanan menentang Indonesia, Malaysia mendapat 44 turnover tetapi pada perlawanan hari ini, mereka berjaya mengurangkan kesilapan turnover kepada hanya 20.

"Inilah semangat yang kita inginkan, tidak mudah akur dan tidak berputus asa. Melalui pendedahan dalam kejohanan seperti ini, saya rasa pengalaman ini sangat baik.

"Para pemain banyak mencapai sasaran yang saya inginkan dan harapkan kita akan beraksi lebih baik," kata Lee.

Ini merupakan kali pertama Malaysia berentap dengan Thailand dalam kejohanan kali ini.

Pada suku pertama, Malaysia dikejutkan oleh Thailand apabila pasukan lawan mengatasi 7-2. Hiran Boateng mudah membolosi barisan pertahanan Malaysia yang agak longgar.

Walaupun Malaysia ketinggalan 21-17 dalam suku pertama, mereka mengejar kembali jurang mata selepas menyesuaikan strategi baru untuk menyerang pihak lawan. Mulai pertengahan suku kedua, pasukan kebangsaan pantas memintas Thailand dan mendahului dengan 9 mata, hasil jaringan Wong Thiam Mun.

Separuh masa pertama berakhir dengan Malaysia menguasai kembali gelanggang, tetapi dengan hanya perbezaan satu mata, 39-40.

Aksi kejar-mengejar berterusan dalam suku ketiga dan setiap kali Malaysia mula menjarakkan mata, Thailand akan cuba menyaingi jurang. Kedua-dua pasukan masing-masing hanya mendapat 9 mata dan kekal terikat 48-49 pada akhir suku ketiga.

Persaingan antara Malaysia dan Thailand semakin sengit dalam suku terakhir, apabila John Tang mula menyerang dan menjaringkan mata. Pada pertengahan suku itu juga, Malaysia mula mendahului lebih jauh dengan 9 mata, 53-62.

Thailand tidak menyerah kalah dengan mudah dan cuba mendapatkan penguasaan daripada tangan Malaysia. Melalui jaringan Aaron Wadman, Thailand hampir mengikat mata dengan 60-64 pada dua minit terakhir.

John Tang sekali lagi menghampakan harapan Thailand dengan dua jaringan tiga mata berturut-turut dengan satu layup sebelum 'menghempap' pihak lawan dengan satu lagi jaringan tiga mata sebelum wisel penamat.

Malaysia bakal bertemu Singapura pada 12 tengah hari esok.

Berikut adalah keputusan penuh perlawanan hari ini:
1. Thailand vs Malaysia (62-74)
2. Filipina vs Indonesia (96-73)