SEABA Seteru lama Malaysia di seberang selat Tebrau, pasukan Singapura akhirnya 'rebah' di tangan pasukan kebangsaan dalam pertemuan di kejohanan bola keranjang Asia Tenggara SEABA di Manila, Filipina, hari ini.
Malaysia menumpaskan Singapura sebanyak empat mata, 41-45 setelah dikecewakan dalam kekalahan tiga perlawanan lalu dengan Indonesia, Thailand dan Filipina.
Bagi ketua jurulatih Goh Cheng Huat, beliau kini mampu menarik nafas lega walaupun pasukan Malaysia sering dibelenggu masalah prestasi yang kurang konsisten.
"Kita menang melalui pertahanan yang kukuh. Kita mulakan dengan pergerakan "pressure defense" terhadap Singapura, sebab itulah mereka sukar menjaringkan mata," kata Goh.
Kemenangan ini disifatkan sebagai kemenangan manis kerana dalam musim yang lalu di Asean Basketball League (ABL), Westports Malaysia Dragons kalah dalam empat pertemuan menentang Singapore Slingers.
Pemain terbaik dalam perlawanan kali ini adalah Ting Chun Hong yang berjaya menjaringkan 18 mata, 7 rebounds dan 3 block.
Walaupun kedua-dua pasukan tidak menjaringkan banyak mata seperti dijangkakan, pasukan Malaysia dan Singapura bergerak dengan sangat agresif dalam mod pertahanan.
Menurut Ting, beliau berharap perlawanan kali ini dapat memperbaiki kelemahan sebelum beraksi pada kejohanan Sukan Sea, Ogos nanti.
"Yang penting, kita masih perlu berusaha lebih gigih lagi untuk menguatkan asas sebagai seorang pemain bola keranjang. Banyak lagi kita perlu usahakan sebelum ke Sukan Sea nanti," ujar beliau.
Malaysia akan berentap dengan Vietnam pada pukul 5 petang esok.
Berikut adalah keputusan penuh perlawanan hari ini:
1. Thailand vs Myanmar (102-35)
2. Singapura vs Malaysia (41-45)
3. Indonesia vs Vietnam (95-52)
