Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Dilamar 3 kali Ghaddar pergi dengan nilai tertinggi

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mendedahkan pasukan JDT mengemukakan tawaran sebanyak tiga kali untuk memiliki penyerang handalan The Red Warriors, Mohammed Ghaddar.

Naib presidennya Datuk Nasir Hamzah, berkata selepas rundingan berlangsung antara kedua-dua pihak, Kafa akhirnya bersetuju untuk melepaskan pemain dari Lubnan itu dengan nilai perpindahan tertinggi dalam sejarah liga Malaysia.

"Tawaran daripada JDT dibuat tiga kali, maka kami terimalah untuk pemindahan pemain terhandal kita atau pemain terhadal liga Malaysia masa ini.

"Ghaddar akan jadi milik JDT serta-merta dengan syarat bayaran dijelaskan dan segala proses perpindahan dilaksanakan," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Nasir bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar nilai perpindahan melibatkan penjaring terbanyak setakat ini di Liga Super 2017 itu.

"Kafa bersetuju untuk tidak mendedahkan jumlah nilai perpindahan.

"Bagi kami dan sejarah liga Malaysia tidak ada lagi nilai perpindahan yang dibayar setinggi ini," jelasnya.

Pemergian penyerang berusia 33 tahun itu dari Kelantan ini adalah kali ketiga selepas berkhidmat di Kota Bharu pada musim 2012-2013 sebelum bermain untuk Felda United.

Dia kemudiannya kembali menyarung jersi TRW pada musim 2014 sebelum berpindah ke kelab bola sepak Jordan, al-Faisaly pada tahun sama.

Ada pengganti lebih baik

Kafa bagaimanapun kembali menggunakan khidmat Ghaddar pada awal musim ini sekali gus menyaksikan pemain itu mempamerkan aksi luar biasa dengan rekod 18 gol melalui 12 perlawanan.

Sementara itu Nasir berkata, keputusan untuk melepaskan Ghaddar itu juga dibuat selepas melihat pemain itu sudah tidak ada jiwa untuk beraksi bersama Kelantan.

Tanpa menafikan Kafa mengalami kekangan perbelanjaan, Nasir menegaskan masalah kewangan bukanlah faktor utama mengapa keputusan itu dibuat.

"Kalau nak kira dari segi masalah kewangan memang Kafa menghadapi masalah kewangan sejak berkurun-kurun lagi, dan kami sentiasa saja berada dalam liga Malaysia dan masih menjadi saingan yang disegani.

"Bukalah soal kewangan sangat menjadi pertimbangan kami untuk melepaskan Ghaddar, tetapi kalau tengok status (kenyataan) Ghaddar di Facebook atau Instagram, memang dia sudah tidak berminat lagi untuk bermain dengan Kelantan.

"Saya rasa dalam dunia ini kalau orang tak berminat dengan kita, lagi pula kita berada dalam dunia bola sepak profesional, perpindahan pemain ini sesuatu yang halal.

"Kalau kami pegang Ghaddar lagi rasanya tidak akan beraksi dengan baik, kerana jiwanya sudah tidak dengan Kelantan," katanya.

Tambah beliau, Kafa kini mempunyai beberapa calon yang bagi menggantikan posisi Ghaddar sekali gus diharap dapat menjadi penyerang terbaik pasukan itu.

Menurutnya, proses penggantian perlu dilakukan bagi memastikan pasukan Kelantan terus memberi saingan hebat di Liga Super.

"Jika kita tak ada penyerang gantian kita tak akan kemana-mana juga. Kita harus mencari penggantinya, dan insya-Allah kita pun telah mempunyai beberapa calon.

"Kalau tidak sehebat Ghaddar pun mungkin lebih baik daripada Ghaddar. Insya-Allah tahun depan kita jual pula (pemain) yang ini," ujarnya sambil berseloroh.

Lihat Komen
ADS