SEABA U16 | Pasukan Malaysia kini mendahului pasukan lain dalam kejohanan bola keranjang Asia Tenggara bawah 16 tahun selepas mengalahkan Singapura hari ini.

Singapura tumpas di tangan Malaysia dengan 21 mata, 77-56.

Pasukan negara juga mengalahkan Indonesia dan Thailand dalam perlawanan sebelum ini.

John Tang sekali lagi mendahului pungutan jaringan dengan 19 mata dan 5 rebound, manakala Teoh Yi Kang dan Tan Chee Wey mendapat 15 dan 10 mata masing-masing.

Dalam suku pertama, Malaysia mudah mengungguli mata mendahului Singapura pada empat minit pertama dengan kelebihan empat mata, 7-3 dan terus menyekat jaringan pihak lawan. Singapuramendapat kurang daripada 10 mata pada akhir suku pertama, 23-7.

Walaupun pada mulanya pergerakan dan corak permainan Singapura tidak mengancam penguasaan Malaysia, namun suku kedua mula tampak lebih agresif selepas jaringan Bryan Teo dan Ryan Armado. Dari hanya 9 mata, Singapura mengejar kembali dan cuba mendekat kutipan mata Malaysia, 25-16 pada tiga minit pertama.

Sebelum tamat separuh masa pertama, pasukan negara cuba mengekalkan penguasaan awal dan John Tang menjaringkan beberapa mata lagi pada akhir suku kedua, Malaysia kekal 16 mata di hadapan Singapura, 43-26.

Singapura mula mengasak dan menyerang pertahanan Malaysia, menjaringkan 19 mata dalam suku kedua manakala Malaysia pula mengutip 20 mata. Namun dalam suku ketiga pula, pertahanan Malaysia mulai longgar dan memberikan banyak peluang untuk Singapura.

Suku ketiga melihat lebih banyak mata dikutip Singapura dengan 18 mata berbanding Malaysia dengan hanya 14 mata, 57-44.

Malaysia terus menjinakkan Singapura dalam suku terakhir dan pihak lawan tidak mampu mengejar kembali jurang mata yang semakin jauh ketinggalan. Lima minit awal dalam suku ini, Malaysia menjaringkan 11-0.

Sungguhpun Singapura cuba untuk mendekati Malaysia, akhirnya mereka hanya mampu mendapat 12 mata dalam suku ini berbanding Malaysia 20 mata.

Malaysia akan bertemu tuan rumah Filipina pada Khamis ini.

Berikut adalah keputusan penuh perlawanan hari ini:
1. Indonesia vs Thailand (69-79)
2. Malaysia vs Singapura ( 77-56)