SEABA U16 | Selepas mengalahkan Singapura semalam dengan 21 mata 77-56, pasukan bola keranjang bawah 16 tahun menempa tiket pertama ke kejohanan Piala FIBA Asia 2017 yang bakal berlangsung akhir tahun ini.

Dalam kejohanan bola keranjang Asia Tenggara SEABA kali ini, hanya dua pasukan terbaik yang akan layak mewakili rantau ini di persada Asia kelak, dan salah satu penyaing utama adalah pasukan tuan rumah, Filipina.

Bukannya mudah untuk menandingi pasukan Filipina yang umumnya jauh lebih baik daripada pasukan-pasukan lain di Asia Tenggara dan mereka juga antara pasukan yang terbaik di Asia.

Untuk Malaysia, inilah antara dorongan utama buat pasukan kebangsaan untuk berusaha lebih gigih walaupun sudah layak ke Piala Asia.

"Kita tidak akan berputus asa malah akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan terakhir esok bersama Filipina.

"Tidak dinafikan, memang sukar untuk anak buah saya untuk berdepan Filipina esok dan dijangka penyokong-penyokong tempatan akan memenuhi stadium yang berkapasiti lebih 20 ribu tempat duduk. Ini kali pertama pemain kita berdepan penyokong seramai ini," kata ketua jurulatih Lee Kheng Tian.

Lee merasakan dengan pemainnya yang mungkin akan berasa gementar berdepan Filipina tetapi beliau yakin pasukan kebangsaan akan memberikan persembahan yang baik esok.

Malaysia telah memenangi tiga perlawanan berturut-turut selepas mengalahkan Indonesia, Thailand dan Singapura. Begitu juga dengan pasukan Filipina yang bakal menempa tiket ke Piala Asia seterusnya telah mengalahkan Singapura dan Indonesia sebelum ini.

Pasukan Malaysia akan bertemu Filipina dalam perlawanan terakhir pada 5 petang esok.