SEABA | Selagi saat belum berakhir, selagi itulah perjuangan belum selesai.
Satu-satunya perlawanan dalam kejohanan ini yang terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan apabila Malaysia dan Vietnam terikat mata sebanyak 13 kali, tetapi pihak lawan akhirnya akur apabila Choo Wei Hong menjaringkan dua mata dalam tujuh saat akhir.
Pemain Vietnam Le Ngoc Tu cuba sekali lagi untuk menjaringkan tiga mata saat sebelum wisel penamat tidak kesampaian, lontaran itu dihalang oleh Ting Chun Hong.
Malaysia berjaya mengalahkan Vietnam dengan perbezaan satu mata sahaja, 86-85. Ini merupakan kemenangan dua kali berturut-turut selepas mengalahkan Singapura semalam.
Pada 23 saat terakhir dalam suku keempat, pemain Vietnam Nguyen Van Hong menjaringkan dua mata untuk mengikat mata pada 76-76, Malaysia lantas memanggil time out pada empat saat terakhir.
Bola yang dihantar sampai ke tangan Heng Yee Tong untuk mencuba nasibnya dengan jaringan tiga mata tidak kesampaian dan memaksa perlawanan ke overtime (masa tambahan).
Selepas perlawanan itu, ketua jurulatih Malaysia Goh Cheng Huat yang kelihatan agak kecewa dengan persembahan anak buahnya menyifatkan pasukan negara mengambil mudah terhadap Vietnam dan dikejutkan dengan serangan mereka.
"Sangat teruk. Perkara yang buruk untuk saya, kita mengambil mudah terhadap pihak lawan dan pemain kita terlalu relaks dalam gelanggang. Mereka tidak bersedia dan semua ini berlaku.
"Setiap jaringan daripada Vietnam masuk, tetapi kita pula, semuanya tidak menjadi termasuklah foul. Kita sangat bernasib baik dapat mengakhiri perlawanan ini dengan kemenangan yang sangat tipis. Inilah pengajaran yang sangat bernilai untuk pasukan Malaysia, ini tidak akan berlaku lagi," kata Goh.
Vietnam mulakan perlawanan dengan mod serangan yang agresif dan melumpuhkan kawalan Malaysia dalam gelanggang. Walaupun terikat 15-15 pada suku pertama, pertahanan pasukan negara yang terlalu longgar memberi peluang kepada Vietnam mendahului Malaysia dengan lima mata pada separuh masa pertama, 30-35.
Angin mulai berubah dalam lima minit akhir suku keempat, Malaysia mula mengukuhkan pertahanan mereka daripada hasil jaringan Choo Wei Hong melalui jaringan penalti memberikan talian hayat kepada Malaysia untuk meneruskan perlawanan.
"Selama ini, prestasi Choo Wei Hong tidak begitu memberangsangkan dan pada yang sama, Chan Kek Thai juga tidak dapat beraksi dengan baik. Saya membuat penyesuaian dan meletakkan Choo dan beliau pada masa itu lebih yakin untuk mendapatkan jaringan (semasa masa tambahan).
"Saya ingin memberi peluang kepada pemain lain dengan mencuba lima pemain pertama kerana ramai tidak mendapat minit dalam gelanggang. Namun, ia tidak seperti yang kami inginkan. Mereka mula panik dan tertekan.
"Bagaikan kanser, lima pemain utama kita pun sama. Saya risau apabila kita terikat mata pada akhir suku keempat dan saya rasa peluang yang lebih cerah dalam masa tambahan. Mujurlah, pada minit akhir, kita dapat mengawal keadaan dan menamatkan Vietnam," tambah beliau.
Ting Chun Hong sekali lagi mendahului penjaring terbaik dengan 28 mata manakala Choo Wei Hong dan Heng Yee Tong mendapat 20 mata dan 12 mata masing-masing.
Malaysia akan mengakhiri siri kejohanan ini dengan perlawanan terakhir bersama Myanmar esok.
Berikut adalah keputusan penuh perlawanan:
1. Myanmar vs Singapura (32-85)
2. Malaysia vs Vietnam (86-85)
3. Filipina vs Thailand (108-53)
