Malaysia akhiri SEABA di tempat ke-4
SEABA | Malaysia menamatkan kejohanan bola keranjang Asia Tenggara SEABA setelah mengalahkan Myanmar 25 mata dalam perlawanan terakhir kejohanan, 83-62.
Pasukan negara berada di tempat keempat di belakang Thailand yang mendapat pingat gangsa. Perlawanan akhir malam ini antara Filipina dan Indonesia akan menentukan pasukan mana yang akan mendapat pingat emas dan tiket ke Piala FIBA Asia nanti.
Ryan Liaw mendahului penjaring utama dengan 25 mata, 7 rebound dan 5 assist manakala Chin Zhi Shin dan Heng Yee Tong pula mendapat 22 mata dan 12 mata masing-masing.
Pasukan Myanmar yang dikhabarkan baru berlatih bersama dengan jurulatih mereka, Tan Kok Heng hampir sebulan lalu, memberikan saingan pada separuh masa pertama. Mereka hampir beberapa kali cuba untuk mendapat defisit mata kurang daripada sepuluh, hasil daripada pemain utama mereka, Wana Aung.
Wana Aung, anak buah kepada Tan Kok Heng mendapat 31 mata, 3 assist dan 2 steal. Tan, merupakan bekas ketua jurulatih pasukan Malaysia dan juga pemain kebangsaan suatu ketika dahulu kini dilantik sebagai ketua pasukan untuk Myanmar.
Pada suku pertama, Myanmar kerap mencabar pasukan Malaysia yang tampak sangat longgar dalam pertahanan dan serangan dalam gelanggang, kerap membuat kesilapan dalam hantaran dan percubaan jaringan. Malaysia setakat mendahului Myanmar di suku pertama dengan 12 mata, 18-6.
Malang tidak berbau, pemain negara Alvin Ang jatuh dan terhentak sikunya terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dalam pertengahan suku kedua. Suku kedua berakhir tidak berapa banyak bezanya, Malaysia mendapat 45 manakala Myanmar 32.
Selepas beberapa penyesuaian, Malaysia mula mengorak langkah dan menjauhi Myanmar dalam suku ketiga dengan 23 mata, 75-52 dan seterusnya, menamatkannya dengan 96-71 pada akhir perlawanan ini.

