Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan

Kelekaan pemain menjadi punca utama The Red Warriors sekali lagi gagal memperoleh tiga mata penuh walaupun bermain di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Super ketika bertemu Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu malam tadi.

Ketua Jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail berkata anak buahnya masih tidak serik dengan pengalaman lampau dan kekal dengan rentak permainan seperti itu sehingga memberi ruang kepada pasukan pelawat untuk menyamakan kedudukan walaupun perlawanan hampir tamat.

"Pemain Kelantan leka apabila dapat menjaringkan satu gol untuk mendahului pasukan lawan dan tidak bertahan dengan sebaik-baiknya walaupun mereka telah mendahului perlawanan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut malam tadi.

Pulau Pinang berjaya mencuri satu mata setelah mengikat Kelantan 2-2 hasil jaringan penyerang import Sanna Nyassi pada minit ke-24 dan 89, manakala gol Kelantan dijaringkan S. Thinagaran (minit ke-25) dan Muhd Danial Ashraf Abdullah (minit ke-55).

Zahasmi berkata The Red Warriors sepatutnya boleh memenangi perlawanan tersebut apabila lebih menguasai permainan dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Beliau turut mengakui penyerang import baharu Kelantan, Abour Bakr Al Mel masih belum dapat menyesuaikan diri dengan rentak permainan rakan sepasukan memandangkan beliau hanya menjalani latihan selama seminggu dan terus beraksi dalam perlawanan sulungnya malam tadi.

Sementara itu Ketua Jurulatih Pulau Pinang Zainal Abidin Hassan memuji kesungguhan dan disiplin anak buahnya untuk mempamerkan aksi cemerlang walaupun berdepan tekanan ketika beraksi di gelanggang lawan.

Beliau berkata walaupun mendapat satu mata namun ia merupakan suntikan semangat kepada pemain Pulau Pinang untuk terus mengekalkan rentak cemerlang pada perlawanan akan datang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS