Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
FAM beri sebab 'kuda tua', pemain bersara dipanggil
Diterbitkan:  May 29, 2017 5:47 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Badan induk bola sepak negara hari ini menjelaskan pemilihan pemain di kalangan berusia 30 tahun ke atas dan pemain bersara ke skuad kebangsaan dibuat kerana kesuntukan masa.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata selepas 26 pemain dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan, pihaknya mendapati banyak kritikan terhadap pemilihan pemain tersebut di kalangan peminat dan penyokong serta bekas-bekas pemain yang disiarkan di media.

Pertama menurutnya, pemilihan pemain tersebut bukanlah ditentukan oleh pengurusan tertinggi FAM seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia senarai yang dicadangkan penolong jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

"Ia memandangkan ketua jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada, baru saja tiba di tanah air pada 23 Mei dan tidak sempat untuk menilai sendiri prestasi pemain dalam saingan Liga Malaysia.

"Berdasarkan senarai 26 pemain tersebut, hanya sembilan pemain sebenarnya berusia 30 tahun dan ke atas yang dilabel sebagai kuda tua, manakala selebihnya 17 pemain lain adalah berusia di bawah 30 tahun," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, media tempatan tampil mengkritik pemilihan pemain yang dianggap sebagai 'kuda tua' dan penampilan semula empat pemain JDT yang mengumumkan persaraan mereka sebelum ini.

Mereka terdiri daripada Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal.

Hamidin berkata, semua perlu tahu Vingada adalah jurulatih yang meminati pemain-pemain muda.

Katanya, jurulatih dari Portugal itu sendiri telah memberitahu akan memantau pemain-pemain dari skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.

"Cuma untuk perlawanan pertama bertemu Lubnan pada 13 Jun ini, Vingada tidak mempunyai masa yang secukupnya dan menggunakan gabungan pemain sedia ada yang dirasakan adalah terbaik buat masa ini menerusi pemantauan Cheng Hoe.

"Jadi para peminat, penyokong dan bekas-bekas pemain ini perlu faham dengan situasi semasa dan tidak sepatutnya berterusan membangkitkan persoalan serta kritikan terhadap senarai 26 pemain yang telah dipilih itu.

"Kita semua perlu bersabar dan jika belum apa-apa pun pelbagai kritikan berterusan dilemparkan, kita tidak akan ke mana. Semua kena faham, kita sedang dalam proses untuk melakukan perubahan ke arah lebih positif," jelasnya.

Sementara itu, berhubung isu empat pemain bersara itu katanya, kesemua mereka memilih untuk menarik semula persaraan mereka sebelum ini.

"Mungkin mereka berempat rasa bersedia untuk kembali atas faktor keyakinan terhadap kepimpinan baharu FAM yang diterajui Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selaku Presiden FAM.

"Penyenaraian empat pemain ini dalam senarai 26 pemain dipanggil kali ini juga adalah berdasarkan faktor cadangan nama daripada Cheng Hoe supaya Vingada dapat menilai kesemua pemain lama dan baru dalam pasukan ini," katanya.

Lihat Komen
ADS