Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan

Hari ini hari pertama bekas jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berdepan dengan tugasan barunya bagi melatih skuad bawah 22 tahun (B-22) dengan misi pingat emas Sukan SEA 2017 dan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018.

Tidak asing dengan tugasan itu, pengendali berusia 46 tahun itu dilihat cukup berwawasan dalam usaha meneruskan kesinambungan yang ditinggalkan Frank Bernhardt.

Bagaimanapun Kim Swee berkata, dalam tempoh masa terdekat tidak banyak perubahan yang boleh dilakukan memandangkan masa yang ada untuk membuat persiapan begitu terhad.

"Saya tak nampak banyak perubahan, seperti saya katakan kita hanya mempunyai 80 hingga 90 hari sebelum Sukan SEA dan 40 hari sebelum Piala AFC.

"Jadi saya tak boleh mengubah banyak pemain dan kebanyakan pemain bersama skuad terdahulu disenaraikan semula termasuk beberapa pemain yang saya dapati kemungkinan besar boleh diketengah ke peringkat antarabangsa," katanya di Kelana Jaya, hari ini.

Terdahulu beliau menyenaraikan 26 pemain ke kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya yang bermula hari ni.

Skuad Projek Sukan SEA itu akan terbang ke Xiangtan, China pada 8 Jun untuk menghadapi perlawanan persahabatan pertama menentang skuad B-22 China pada 10 Jun.

Mereka kemudiannya akan terbang pula ke Guangzhou, China pada 11 Jun untuk baki dua lagi aksi persahabatan bertemu skuad simpanan Guangzhou R&F pada 13 Jun dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande pada 15 Jun sebelum terbang pulang ke tanah air pada 16 Jun.

Ada program sendiri

Ditanya sama ada meneruskan apa yang telah dirancang Bernhardt sebelum ini, Kim Swee menegaskan dia mempunyai program tersendiri.

"Dan tujuan kita untuk ke China itu memberi ruang kepada saya untuk menilai semula apa yang mereka telah lakukan, para pemain dalam skuad terdahulu dan pemain baru.

"Kita mempunyai tiga perlawanan cukup penting bagi menilai pemain ini untuk dipilih beraksi di kelayakan Piala AFC," jelasnya.

Sebelum ini FAM selaku badan induk bola sepak negara memilih bekas pemain kelahiran Melaka itu bagi menggantikan Bernhardt yang ditamatkan perkhidmatannya sebaik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipilih sebagai presiden FAM.

Sementara itu, Kim Swee berkata beliau memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk proses mengenali barisan pemain dan menganalisa prestasi mereka.

"Ini hari pertama, untuk lebih adil saya perlu lihat terutama selepas seminggu dan selepas tiga perlawanan (di China) nanti, selepas ke China saya boleh memberi gambaran," katanya ditanya perbezaan skuad sekarang dan terdahulu.

Selain itu mengulas sasaran pada Sukan SEA Ogos nanti, beliau positif untuk melihat anak buahnya meraih pingat emas.

"Saya tidak mahu sebut sebarang sasaran, tetapi ini Sukan SEA keempat saya dan setiap Sukan SEA (sebelum ini) pun pingat emas.

"Jadi saya rasa tak ada banyak beza, lebih-lebih lagi kita sebagai tuan rumah yang mana pingat emas merupakan pingat yang penting dalam Sukan SEA dah tentu kita ingin mencapai sasaran tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS