3 pemain Real paling dibimbangi Buffon
Menjelang perlawanan akhir Liga Juara-juara Ahad ini, kapten Juventus, Gianluigi Buffon, menyeru rakan-rakannya supaya mengawasi tiga pemain Real Madrid yang disifatkan sebagai pengancam utama yang menghalang mereka menjulang trofi kejuaraan untuk kali ketiga.
Penjaga gol 39 tahun itu berkata, pemain tersebut ialah tiga penyerang utama skuad The Blancos iaitu Gareth Bale, Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo.
"Lawan Real Madrid adalah perlawanan sangat penting, seperti dua tahun lalu ketika kami bertemu Barcelona FC dan 14 tahun lalu berdepan AC Milan.
"Ketika berhadapan dengan pemain hebat seperti Ronaldo, Benzema atau Bale, anda mestikan memberikan perhatian lebih," katanya.
Terdahulu, Juventus layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Monaco di peringkat separuh akhir, manakala Real berjaya menyingkirkan Atletico Madrid.
Buffon menyatakan keyakinan buat pasukannya untuk merampas kejuaraan yang disandang Real dalam aksi di Stadium Millenium Cardiff, awal pagi 4 Jun ini.
Liga juara-juara merupakan satu-satunya trofi tertinggi persaingan kelab bola sepak yang belum diraih Buffon.
Dia sudah mengalami kekecewaan dua kali ketika tewas kepada kepada Barcelona (2015) dan Milan (2003).
Kini, pemain kelahiran Itali itu tetap memasang impian untuk merangkul trofi berprestij di dunia itu.
"Kami mempunyai peluang untuk mencipta sejarah bola sepak Itali dan Eropah," katanya.

