Perhitungan perlawanan akhir Liga Juara-juara (UCL) 2017 antara Real Madrid dan Juventus, awal pagi nanti bakal merebut ganjaran sekitar €15.5 juta (euro) atau RM74.8 juta.
Mengikut laporan Totalsportek, ganjaran tersebut meningkat €500,000 berbanding musim lalu dan penentu pasukan mana akan meraih hadiah sebesar itu akan ditentu di Stadium Millennium, Cardiff.
Selain itu, pasukan yang layak beraksi pada kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu juga bakal menikmati bonus persembahan dan pembahagian dariapda hak penyiaran.
Setiap pasukan yang bertanding di peringkat kumpulan akan memperolehi €1.5 juta atau RM7.2 juta, manakala pasukan yang berjaya layak ke kelompok 16 terbaik menerima ganjaran €6 juta.
Bagi pasukan yang berjaya ke suku akhir dan separuh akhir masing-masing akan memperolehi €6.5 juta dan €7.5 juta.
Justeru, sekiranya Juventus menjuarai UCL mereka akan menikmati ganjaran keseluruhan €55.2 juta, manakala Real Madrid 'hanya' meraih €54.2 juta.
Perbezaan itu bergantung kepada prestasi kedua-dua pasukan pada perlawanan peringkat kumpulan. Juventus berjaya meraih satu kemenangan lebih banyak berbanding Real Madrid.
Bagaimanapun, jumlah itu akan bertambah sekiranya dicampur dengan pembahagian hak penyiaran. Seperti musim lalu, Real Madrid mendapat tambahan €40.6 juta daripada hak penyiaran mereka.
