Real Madrid juara lagi
Real Madrid berjaya mempertahankan trofi Liga Juara-juara di bumi Sepanyol selepas menumpaskan Juventus 4-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Millennium, Cardiff, sebentar tadi.
Kejayaan itu sekali gus menjadikan anak buah Zinedine Zidane meraih kejuaraan kali ke-12 dalam sejarah kejohanan bola sepak antara kelab paling berprestij di dunia itu.
Melalui formasi 4-3-3, Cristiano Ronaldo dan rakan-rakan tampil mendominasi permainan seawal 45 minit pertama walaupun diberi tentangan sengit barisan jentera Juventus.
Sebaliknya, Massimiliano Allegri memilih supaya anak buah menggunakan formasi 3-4-1-2 dilihat cuba memperkemaskan jentera tengah dan mengawasi benteng pertahanan.
Namun, Real cuma memerlukan 20 minit untuk meletakkan pemisah melalui jaringan Ronaldo untuk kedudukan 1-0.
Bermula dengan gerakan dari tengah, Daniel Carvajal memberi umpanan cantik memanfaatkan kebebasan Ronaldo yang tidak dikawal ketat pemain lawan.
Bintang Portugal itu pantas melepaskan rembatan deras gagal dikekang pertahanan Juventus sekali gus menumpaskan Gianluigi Buffon.
Tersentak dengan jaringan itu, Juventus kembali mengatur rentak dan memperkemaskan serangan serta lebih berwaspada.
Namun, Mario Mandzukic dan rakan-rakan di barisan depan tetap kesukaran apabila setiap strategi mereka dinafikan lawan.
Tujuh minit berselang, keghairahan perlawanan akhir itu mula terserlah apabila Mandzukic tampil menyamakan kedudukan.
Sejurus mendada menerima umpanan Gonzalo Higuain, penyerang 31 tahun itu melepaskan satu tendangan gaya bicyle kick cantik memperdayakan penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas.
Kedudukan 1-1 kekal di separuh masa pertama menyaksikan permain seimbang kedua-dua pasukan dan sebaliknya berlaku pada 45 minit kedua.
Kembal dari bilik persalinan Real Madrid terus memukau jutaan penyokong di seluruh dunia, manakala Juventus dilihat kurang melawan.
Di minit ke-61 giliran Casemiro meletakkan skuad The Blancos di depan dengan membolosi gawang Buffon.
Juventus seolah-olah kurang melawan, setiap posisi mereka di babak kedua mudah ditembusi memberi laluan kepada lawan mengatur gerakan dengan tempo lebih pantas.
Ronaldo sekali lagi merekod nama sebagai penjaring tiga minit menyusuli jaringan Casemiro sekali gus mematikan hasrat Juventus untuk mengulangi kejayaan terakhir mereka pada 1996.
Walaupun kemudiannya cuba bangkit dengan beberapa serangan ke benteng Real Madrid, ketahanan anak buah Zidane begitu ampuh mematahkan setiap percubaan lawan.
Real Madrid akhirnya semakin selesa meraikan kejuaraan mereka menjelang minit-minit akhir masa perlawanan apabila pemain gantian, Marco Asensio membolosi gol keempat pasukannya sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil.
Kemenangan itu mengulangi kejayaan Real Madrid yang diraih pada 1956, 1957, 1958, 1959, 1960, 1966, 1998, 2000, 2002, 2014 dan musim lalu.
Juventus terpaksa akur dengan rekod kekalahan ketujuh mereka dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara.

