Malaysiakini

Bantuan TMJ rahmat besar buat kami, kata Alafi

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemain bola sepak Perlis, Alafi Mahmud menyifatkan kesudian Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menampung pembedahan anaknya, Adra Medina sebagai satu rahmat besar.

Bercakap kepada Malaysiakini, Alafi berkata, dia sekeluarga bersyukur dan menjunjung kasih atas keprihatinan presiden FAM itu.

"Besar rahmat buat kami sekeluarga dengan pertolongan ini. Alhamdulillah, hanya Allah saja dapat membalas jasa baik Tunku.

"Terima kasih tidak terhingga daripada kami sekeluarga. Semoga Allah lanjutkan usia dan pelihara Tunku, keluarga dan kerabat Diraja Johor Darul Ta'zim," katanya.

Adik Adra Medina yang kini berusia 50 hari disahkan menghidap penyakit jantung berlubang dan perlu menjalani dua kali pembedahan.

Pembedahan pertama yang memerlukan kos sekitar RM100,000 tersebut dijadual akan dilakukan pada Sabtu ini di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Terdahulu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia mengambil inisiatif membantu Alafi sekeluarga dengan memohon bantuan rakyat Malaysia.

Berita penderitaan Andra Medina itu akhirnya mendapat perhatian Tunku Ismail ‎sekali gus tampil untuk menampung keseluruhan kos pembedahan anak kedua Alafi itu.

Alafi memulakan karier bola sepaknya pada 2011 bersama pasukan Pahang sebelum berhijrah ke Muar FC, Negeri Sembilan, PDRM dan kini bersama skuad Singa Utara.