Bekas jurulatih skuad kebangsaan, B Sathianathan melihat prestasi pasukan bola sepak Bawah 22 tahun (B-22) Malaysia belum mencapai tahap yang memuaskan.

Berdasarkan aksi pada perlawanan persahabatan menentang Felda United, malam tadi, menurutnya, anak buah Datuk Ong Kim Swee belum menunjukkan ketajaman dalam persembahan mereka.

"Dalam fasa ini mereka memang tidak ada ketajaman, kepantasan juga kurang mungkin sebab baru masuk ke fasa pramusim.

"Sebelum ke China latihan mereka mungkin banyak menumpukan aspek kecergasan dan disebabkan itu aspek ketajaman bukan seperti yang kita harapkan," katanya yang kini membimbing skuad The Fighters.

Terdahulu, skuad projek Sukan SEA 2017 yang baru diambil alih Kim Swee berjaya mengikat Felda United 1-1 dalam aksi di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya.

Selepas kira-kira seminggu berlatih bawah kendalian bekas jurulatih Harimau Malaya itu, mereka akan berlepas ke China esok bagi menghadapi beberapa perlawanan di sana termasuk menentang skuad B-22 China.

Sementara itu, Kim Swee mengakui masih banyak kelemahan yang dihadapi pemain-pemainnya selepas lapan hari menyertai kem latihan pusat.

Justeru, kata jurulatih 46 tahun itu banyak aspek yang perlu mereka perbaiki terutama sebelum berangkat ke negeri Tembok Besar itu.

"Pertama, kesilapan-kesilapan mudah, ini amat membimbangkan di mana gol yang dibolosi pihak lawan adalah kesilapan kita sendiri. Dan beberapa hantaran ke belakang yang tidak tepat.

"Ini merupakan perkara yang cukup serius, pemain perlu tahu mereka tak boleh lakukan kesilapan terutamanya di peringkat antarabangsa.

"Apabila kita lakukan kesilapan pihak lawan akan mengambil peluang dengan begitu mudah," katanya.

Skuad muda negara itu dijadulkan berdepan pasukan B-22 China pada 10 Jun, pasukan simpanan Guangzhou R&F, pada 13 Jun dan skuad simpanan kelab Guangzhou Evergrande pada 15 Jun.

Kesemua perlawanan persahabatan itu merupakan salah satu inisiatif bagi pasukan negara dalam persediaan menghadapi Sukan SEA 2017, Ogos nanti.