Gerrard idam Liverpool sambar van Dijk
Legenda Liverpool, Steven Gerrard, melontarkan harapannya untuk melihat kelab itu segera mendapatkan pemain Southampton, Virgil van Dijk.
Dia memberi keyakinan, pemain pertahanan 25 tahun itu akan memberi impak dan berbezaan besar kepada kelab bimbingan Jurgen Klopp itu.
Van Dijk sudah membuktikan dirinya sebagai watak penting sepanjang berada di Southampton selepas meninggalkan Celtic pada 2015.
Justeru, beberapa laporan menyatakan menyatakan kelab-kelab gergasi Liga Perdana Inggeris seperti Chelsea, Manchester City dan Liverpool turut mempunyai rencana untuk mendapatkan pemain kelahiran Belanda itu.
Bagaimanapun, laporan media tempatan Inggeris mutakhir ini menyatakan, van Dijk sedang memberi pertimbangan serius untuk ke Anfield.
Susulan itu, Gerrard menyatakan keterbukaannya terhadap pemain pertahanan skuad kebangsaan Belanda itu.
"Saya ingin lihat van Dijk mengenakan jersi merah (Liverpool). Saya adalah peminat tegarnya," kata Gerrard seperti dilaporkan The Daily.
"Saya sudah fikirkan dia seorang pemain hebat ketika masih di Celtic. Saya kira sepatutnya ketika itu kami melamarnya," jelasnya.
Bekas kapten The Kop itu menyifatkan van Dijk umpama satu daripada kepingan 'puzzle' Liverpool dan akan sangat berguna buat Klopp.
"Saya fikir dia adalah kepingan 'puzzle' yang akan diterima dan sangat berguna bagi Liverpool," kata Gerrard.
Namun, usaha untuk membawa van Dijk ke Anfield agak sulit buat Liverpool apabila harga setinggi £60 juta (RM330 juta) ditetapkan Southampton.
Kewibawaan van Dijk juga mendorong pengurus kelab The Saints, Claude Puel, melantiknya sebagai ketua pasukan.

