Skuad silat negara terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing, bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik menjelang Sukan SEA ke-29 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata 27 atlet yang bakal disertai tujuh pegawai akan menjalani latihan selama 21 hari di kawasan pergunungan di Dalat, Vietnam mulai 19 Jun.

"Kita terpaksa mengambil keputusan 'kejam' ini dan tiada cara lain kerana Pesaka mempunyai tanggungjawab cukup besar pada Sukan SEA," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2017 yang dikendalikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Wisma MOM di Kuala Lumpur hari ini.

Megat Zulkarnain berkata berdasarkan pengalaman sebelum ini, setiap kali atlet pulang daripada sambutan Aidilfitri, tempoh kira-kira sebulan diperlukan untuk mengembalikan prestasi terbaik mereka.

"Tahun ini mereka akan berada jauh daripada sebarang sambutan di lokasi yang mengambil masa lima jam perjalanan dari bandar Ho Chi Minh. Selepas kembali dari Vietnam, mereka akan menjalani latihan mental selama lima hari empat malam di hutan dan latihan fasa terakhir di Cameron Highlands," katanya.

Megat Zulkarnain yakin skuad silat negara mampu mencapai sasaran lapan pingat emas, empat perak dan enam gangsa daripada 20 acara yang dipertandingkan, terdiri daripada 14 acara silat olahraga dan enam silat seni.

"Sasaran ini ditetapkan berdasarkan prestasi atlet di kejohanan Terbuka Belgium pada awal Mei. Kita juga melakukan beberapa perubahan selepas kejohanan itu kerana kita hanya mahu meletakkan atlet yang terbaik.

"Sasaran ini juga lebih tinggi berbanding pencapaian di Sukan SEA Singapura dengan kita membawa pulang tiga emas, tiga perak dan empat gangsa daripada 13 acara yang dipertandingkan," katanya.

-Bernama