Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kim Swee tuntut pemain buktikan kemampuan di China
Diterbitkan:  Jun 8, 2017 3:49 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Ketua Jurulatih Skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mahu para pemain pasukan itu membuktikan kemampuan dan kebolehan mereka sepanjang lapan hari latihan dan aksi persahabatan di China.

Pengendali berusia 46 tahun itu turut mahu anak buahnya menunjukkan sikap ingin menang dan disiplin yang baik di dalam dan luar padang untuk dipilih bagi mewakili negara pada pusingan kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok bermula 19 hingga 23 Julai dan Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos ini.

Kim Swee berkata beliau turut akan menguji kombinasi pemain dan bagaimana pemain dapat mengadaptasi sistem dan corak permainan yang beliau terapkan dalam tiga aksi persahabatan di China, iaitu menentang pasukan B-22 China, skuad simpanan Guangzhou R & F dan pasukan simpanan Guangzhou Evergrande sebelum pulang ke tanah air pada 16 Jun ini.

Beliau berkata beberapa kelemahan pasukan itu yang dikesan ketika aksi persahabatan menentang Felda United pada Selasa lepas yang berkesudahan seri 1-1, termasuk kesilapan individu akan diperbaiki di China.

"Sistem dan corak permainan yang saya terapkan mungkin berbeza daripada pengendali terdahulu dan ini penting untuk saya melihat siapa yang lebih memahami dan mendapatkan kombinasi yang terbaik di bahagian-bahagian tertentu.

Lepas balik dari China, baru saya boleh menentukan atau memikirkan apa yang sesuai, sama ada sistem yang saya cuba serapkan atau memerlukan sistem atau corak permainan yang berbeza," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini sebelum berlepas ke China.

Sementara itu, beliau turut berharap agar para pemain dapat mengekalkan tahap kecergasan mereka sehingga temasya Sukan SEA yang akan berlangsung bermula 19 hingga 30 Ogos ini, yang mana acara bola sepak dijadualkan bermula dari 14 hingga 29 Ogos.

"Tujuan utama bermain dengan pasukan-pasukan yang lebih baik adalah kerana ia akan memberi intensiti yang tinggi dan akan membantu kita daripada satu perlawanan ke perlawanan seterusnya. Jika kita teruskan aksi seperti ini sehingga Ogos, saya percaya bahawa para pemain akan berada pada tahap yang terbaik.

Bagaimanapun, saya berharap mereka akan diberikan lebih banyak peluang untuk beraksi bersama pasukan dan kelab masing-masing apabila mereka pulang selepas tamat kem latihan pusat ini," katanya.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS