Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Arab Saudi mohon maaf tak bertafakur
Diterbitkan:  Jun 9, 2017 12:17 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi memohon maaf selepas pemainnya tidak bertafakur selama seminit bagi memperingati mangsa serangan penganas di London sebelum perlawanan menentang Australia, semalam.

Dalam satu kenyataan, badan induk bola sepak Arab Saudi berkata mereka begitu menyesal kerana tidak melakukan penghormatan bertafakur selama seminit itu.

"Pemain tidak bermaksud untuk tidak menghormati semua mangsa dalam serangan itu atau mencetuskan kesedihan kepada keluarga, rakan atau mana-mana individu yang terbabit dengan tragedi itu."

"Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi mengutuk semua tindakan keganasan serta ekstremis dan kami mahu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, kerajaan serta penduduk United Kingdom."

Australia menewaskan Arab Saudi 3-2 dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia di Adelaide pada Khamis, namun insiden sebelum perlawanan bermula menjadi tajuk utama.

Walaupun tidak membuat bunyi bising, pemain Arab Saudi dilihat hanya meregangkan badan ketika pemain Australia berbaris di tengah padang sebelum perlawanan bermula.

Lapan terbunuh manakala 50 lagi cedera apabila pengganas melanggar orang awam yang berada di London Bridge dan Borough Market, Sabtu lalu sebelum menyerang beberapa individu menggunakan pisau.

Dua daripada mangsa yang maut adalah warga negara Australia.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) mengesahkan kedua-dua persatuan sudah bersetuju untuk melakukan tafakur selama seminit sebelum perlawanan.

"FFA kemudiannya dinasihatkan oleh pegawai pasukan Arab Saudi yang menyatakan tradisi ini tidak selaras dengan budaya mereka dan mereka mengambil posisi di atas padang namun menghormati kami bertafakur selama seminit,".

Lihat Komen
ADS