Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

BOLA KERANJANG | Tinggal kira-kira dua bulan lagi sebelum bermulanya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur. Bagi skuad kebangsaan tiada banyak pilihan yang ada kecuali menjalahi latihan intensif di tanah air sendiri.

Minggu ini bermulalah kejohanan antarabangsa jemputan Maba yang menyaksikan lima pasukan wanita dan empat pasukan lelaki dari China, Australia, Taiwan dan Scotland berkampung di Kuala Lumpur.

Pasukan Malaysia akan diuji lagi untuk menentukan sejauh manakah prestasi mereka kali ini.

Dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat pengurus pasukan wanita, timbalan setiausaha agung Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) Sim Sin Heng memberitahu, tiada sasaran ditetapkan untuk skuad kebangsaan pada kejohanan kali ini.

"Kami tidak sasarkan untuk mengalahkan semua pasukan yang dijemput. Kalau dapat, baguslah. Matlamat akhir kami ialah Sukan SEA.

"Kami bersedia dengan kemungkinan kalah dalam semua perlawanan kerana saya difahamkan pasukan yang dijemput adalah lebih baik daripada kita.

"Jika diikutkan, sasaran kami adalah mempelajari setiap kelemahan dan kekuatan skuad kebangsaan melalui kejohanan ini," ujar Sim.

Beliau turut menambah perlawanan minggu ini adalah antara ujian awal selepas skuad negara menjalani latihan intensif di Jepun dan Australia baru-baru ini.

Skuad wanita yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2015 di Singapura pula diharap dapat menggalas cabaran negara untuk menaiki podium sekali lagi tahun ini.

Semua ini memberi tekanan yang tinggi buat mereka.

'Cintai' jaring kalau nak menang

Sementara itu ketua jurulatih pasukan wanita Yoong Sze Yuin ketika ditemuramah wartawan menggunakan ungkapan menarik bagi menggambarkan skuadnya.

"Kelebihan besar? Saya selalu ingatkan anak buah saya untuk 'mencintai' jaring semasa di gelanggang.

"Kalau tidak dapat buat jaringan dengan betul, jangan marah pada dia (jaring). Kamu perlu berikan lebih banyak 'cinta' untuk menang," kata Yoong.

Seperti Sim, Yoong juga menyedari cabaran yang dibawa setiap pasukan yang dijemput menyertai kejohanan kali ini.

"Kami pernah beraksi dengan sesetengah pasukan yang dijemput. Sebenarnya, mereka sangat kuat namun tetap merendah diri.

"Di China dan Taiwan, walaupun mereka bermain di peringkat universiti dan sekolah, tahap mereka adalah setaraf dengan skuad kebangsaan," tambah beliau.

Tiga pasukan yang bakal mencabar skuad wanita Malaysia mempertahankan pingat emas Sukan SEA adalah Indonesia, Thailand dan Filipina.

Tidak pandang rendah

Kata Yoong pasukan Indonesia pula sudah bertolak ke AS untuk menjalani latihan intensif mereka selama sebulan.

"Saya harap kami dapat beraksi dengan 60/40 tetapi dalam Sukan SEA nanti, setiap pasukan yang bertanding mempunyai peluang yang sama rata," katanya.

Bagi ketua pasukan wanita kebangsaan, Nur Izzati Yaakob, dia tetap yakin skuad negara bersedia diuji pada kejohanan jemputan ini.

Dia yang sudah mewakili Malaysia dalam Sukan SEA sebanyak empat kali sejak 2011 berkata mereka sudah bersiap sedia dan bakal memberi perhatian serius pada setiap perlawanan.

"Walaupun pasukan lawan berstatus skuad universiti dan sekolah menengah, kita tidak boleh memandang rendah terhadap mereka kerana kualiti yang ada menyamai skuad kebangsaan," katanya.

Izzati, 28, dari Kuala Lumpur berkecimpung dalam sukan bola keranjang sejak dari bangku sekolah rendah lagi menyifatkan usaha itu boleh dianggap sebagai motivasi yang besar untuk mempertahankan pingat emas untuk Sukan SEA kali ini.

Kejohanan ini akan bermula dari 13 hingga 17 Jun. Berikut adalah jadual perlawanan untuk pasukan lelaki dan wanita kebangsaan di Stadium Maba:

13 Jun (Selasa)
8pm - Malaysia (Wanita) lwn China Shanghai

14 Jun (Rabu)
6pm - Malaysia (Lelaki) lwn National Taiwan Normal University
8pm - Malaysia (Wanita) lwn Taiwan Fo Guang University

15 Jun (Khamis)
8pm - Malaysia (Lelaki) lwn Taiwan Chung Chou University

16 Jun (Jumaat)
6.30pm - Malaysia (Lelaki) lwn Australia ACBA Dragons
8.30pm - Malaysia (Wanita) lwn Scotland National Team

17 Jun (Sabtu)
4pm - Round robin kategori lelaki untuk tempat ketiga dan keempat
6pm - Malaysia (Wanita) lwn Taiwan Nanshan High School
8pm - Round robin kategori kelaki untuk tempat pertama dan kedua

Lihat Komen
ADS