Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Bangkit, tapi skuad B-22 belum menang di China
Diterbitkan:  Jun 14, 2017 2:13 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Skuad bola sepak Bawah 22 negara (B-22) bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali untuk mencatat keputusan seri 2-2 menentang pasukan simpanan Guangzhou R&F pada aksi persahabatan kedua Jelajah China di Padang Latihan Bola Sepak Baining di Guangzhou, China, semalam.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Deng Zhiyao pada minit ke-21 dan Zhu Di pada minit ke-38, sebelum Mohd Safawi Rasid melakar dua jaringan untuk skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada minit ke-47 dan 53.

Terdahulu, kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain setelah Zeng Chao dan Sean Eugene Selvaraj menerima kad merah pada minit ke-44 kerana terlibat dengan pergaduhan.

Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, Kim Swee mengakui beliau kurang berpuas hati dengan prestasi pemain yang diturunkan, namun memuji semangat tidak berputus asa yang dipamerkan anak buahnya.

"Saya berpuas hati kerana kita berjaya bangkit walaupun ketinggalan dua kali tapi secara keseluruhan, pemain masih belum membuktikan bahawa mereka boleh beraksi baik di peringkat lebih tinggi," jelas jurulatih kelahiran Melaka itu.

Sehubungan itu, Kim Swee menuntut pemainnya untuk bangkit melakar keputusan positif pada aksi persahabatan terakhir menentang pasukan simpanan Guangzhou Evergrande, Khamis ini, sebelum skuad kebangsaan kembali ke tanah air pada Jumaat.

Terdahulu, skuad B-22 negara kalah 0-1 kepada skuad B-22 China pada aksi persahabatan sulung di Stadium Pusat Sukan Xiangtan, Jumaat lepas.

Jelajah China itu merupakan antara persediaan skuad B-22 negara bagi menghadapi pusingan Kelayakan AFC B-23 di Thailand, bulan depan, dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS