Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Skuad takraw wanita berkampung di Hat Yai
Diterbitkan:  Jun 14, 2017 4:14 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Skuad sepak takraw wanita negara akan 'berkampung' di Hat Yai, Thailand selama dua minggu bermula 8 Julai ini sebagai persiapan akhir menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Jurulatih skuad berkenaan, Mohd Fikri Mohd Nor berkata, skuad wanita negara yang terdiri daripada 17 pemain itu akan menyertai beberapa aksi persahabatan dan pertandingan dengan beberapa kelab tempatan di sana.

"Kami telah mengatur beberapa aksi persahabatan dengan beberapa kelab di Selatan Thailand iaitu di Hat Yai, Patlung dan Trang selain turut menyertai beberapa pertandingan di sana," kata Mohd Fikri pada sidang media Program Kita Juara acara sepak takraw di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Fikri yang mula mengendalikan skuad wanita kebangsaan sejak 2009 berkata skuad itu disasarkan untuk memperbaiki kutipan pingat gangsa dalam acara antara regu yang diraih pada edisi 2015 di Singapura.

Katanya, Thailand, Myanmar, Vietnam dan Indonesia dijangka menjadi pencabar kepada skuad negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

"Walaupun Thailand sukar dikalahkan, namun saya lihat kita ada peluang untuk menewaskan negara lain seperti Myanmar dan Vietnam," katanya.

Beliau berkata senarai akhir pemain akan diumumkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Ahmad Ismail.

Ketua pasukan skuad wanita kebangsaan, Siti Norzubaidah Che Abdul Wahab berkata moral pasukan itu kini ditahap terbaik bagi memperbaiki pencapaian pingat gangsa di Singapura dua tahun lepas.

"Persiapan kini berjalan lancar dan saya lihat rakan sepasukan begitu bersemangat untuk menghadapi Sukan SEA kali ini," kata anak jati Kelantan itu yang bakal membuat penampilan kali kelima pada Sukan SEA.

-Bernama

Lihat Komen
ADS