Riyad Mahrez dan rakan-rakan kerjakan umrah
Sebahagian pemain bola sepak dari Algeria termasuk pemain tengah berbisa Leicester City, Riyad Mahrez mengambil kesempatan untuk mengerjakan ibadah Umrah di Mekah.
Ia sempena kehadiran bulan Ramadan di samping musim liga bola sepak di seluruh dunia kini sedang berehat sama ada menunggu musim baru atau mengikuti jadual perlawanan antarabangsa.
Melalui sekeping gambar yang dimuat naik di Facebooknya, Mahrez memberitahu peminat dia berada di tanah suci.
"Mecca," tulis pemain 26 tahun itu yang berpakaian ihram dengan latar belakang Kaabah, kelamarin.
Musim Liga Perdana Inggeris berakhir Mei lalu, menyaksikan Leicester City meraih kedudukan ke-12 selepas muncul juara pada musim sebelum ini.
Mahrez antara watak penting di sebalik kejayaan kelab milik jutawan dari Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha itu.
Selain itu, beberapa rakan sepasukan lain turut menyertai Mahrez antaranya pemain kelab Middlesbrough FC, Adlene Guedioura dan Porto FC, Yacine Brahimi.
Sementara itu Persatuan Pemain Bola Sepak Muslim (AMF) melalui Facebooknya turut berkongsi beberapa gambar pemain-pemain dari Algeria itu berada di bumi Mekah.

