Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Prestasi perseorangan lelaki menunggu Misbun

Penolong ketua jurulatih perseorangan badminton negara Hendrawan yakin kepulangan semula Datuk Misbun Sidek ke dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai ketua jurulatih akan meningkatkan kembali prestasi pemain perseorangan badminton negara.

Menurutnya Misbun telah membuktikan kehebatannya dalam melahirkan jaguh-jaguh badminton negara seperti Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan Hafiz Hashim.

"Tujuan awal Misbun masuk adalah kerana prestasi perseorangan lelaki agak kurang (menyerlah) ketika ini dan saya percaya kehadirannya boleh perbaiki keadaan ini," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, baru-baru ini.

Hendrawan berkata kehadiran Misbun ke dalam BAM akan menyuntik semangat baharu kepada para pemain perseorangan negara termasuk anak didiknya, Chong wei.

"Ia perkembangan yang sangat bagus buat Chong Wei yang menggalas cabaran untuk memburu kejuaraan dunia pertamanya di Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan," katanya.

Misbun ialah individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei sehingga muncul pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super, dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan All England.

- Bernama

Lihat Komen
ADS