Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Imam tetap disekat ke Kelantan
Diterbitkan:  Jun 19, 2017 5:20 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Hasrat Kelantan mendapatkan khidmat pemain import, Seydi El Imam tidak kesampaian apabila Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Dalam kenyataan hari ini, FMLLP berkata perpindahan itu tidak dibenarkan susulan Kafa masih gagal memenuhi kriteria diperlukan dalam pendaftaran Liga Malaysia 2017.

"Pihak FMLLP juga tidak dapat memberikan kelulusan budi bicara ke atas permintaan pihak Kafa ini atas sebab perpindahan ini tidak membawa impak yang amat positif kepada kedudukan kewangan pihak Kafa," kata kenyataan tersebut.

Pemain berumur 31 tahun dari Perancis itu sebelum ini digantung pendaftarannya untuk bersama skuad The Red warriors disebabkan masih menunggu pengesahan daripada Lembaga Undang-undang FMLLP.

Sementara itu, FMLLP bagaimanapun meluluskan rayuan Kafa untuk mengurangkan jumlah pemotongan mata berbanding yang dikenakan sebelum ini.

"Jumlah mata yang dipotong akan dikurangkan kepada tiga mata perlawanan (Liga Super). Keputusan ini dibuat berdasarkan usaha Kafa melengkapkan pendataran pasukan dengan mengemukakan pelan pembayaran jumlah-jumlah yang tertunggak," jelas agensi itu.

Pada Mei lalu, FMLLP mengenakan hukuman pemotongan enam mata dan sekatan perpindahan pemain bagi jendela pertengahan musim kepada empat pasukan iaitu Kelantan, T-Team, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana soal tunggakan gaji dan gagal melengkapkan pendaftaran pemain.

Bagaimanapun, hukuman terhadap dua pasukan iaitu Perlis dan T-Team dibatalkan selepas kedua-dua pasukan itu berjaya mengemukakan dokumen tertangguh berserta rayuan kepada FMLLP, manakala isu berkaitan ATM masih dalam siasatan lanjut.

Susulan itu, isu perpindahan Imam mendapat perhatian Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang lantang mengkritik FMLLP kerana tidak membenarkan skuad The Red Warriors (TRW) mendaftarkan pemain itu bagi menggantikan Alessandro Padovani Celin yang dilaporkan kurang cergas.

Sementara itu, permintaan Kafa mengenai masa untuk menyelesaikan tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), FMLLP berkata, pasukan itu akan diberikan tempoh sehingga 31 Oktober depan untuk melunaskan segala pembayaran tersebut.
 

 

Lihat Komen
ADS